Dalam dunia bisnes hari ini, ramai yang sibuk mengejar perhatian. Segalanya mesti nampak ‘wow’ kena ada kereta mewah, barangan berjenama, rumah besar dan gaya hidup eksklusif.
Setiap langkah harus kelihatan seperti kejayaan. Tetapi, hakikatnya, masih ramai yang belum benar-benar memahami makna sebenar kejayaan.
Bagi seorang usahawan yang sudah melalui jatuh bangun dunia perniagaan, Dato’ Sri Aliff Syukri percaya bahawa kejayaan tidak boleh diukur melalui apa yang mata kasar lihat. Ia bukan tentang jumlah pengikut di media sosial, gambar dengan kereta mewah, dan gaya hidup yang dipamerkan. Kejayaan sebenar bermula apabila seseorang tahu nilai dirinya sendiri.
Satu kata, tapi besar maknanya ‘Mahalkan diri’.
‘Mahal’ yang dimaksudkan bukan tentang harga pakaian atau jenama yang dipakai, tetapi tentang nilai dalaman tentang macam mana seseorang menjaga maruah, menambah ilmu, menghargai masa, dan membina kekuatan diri dalam jangka panjang.
Kaya di Luar, Miskin di Dalam
Realiti orang yang suka pamerkan kekayaan ini kebanyakannya ada isu ‘Poor Financial Management’.
Luar nampak gah tapi duduk rumah sewa, berhutang kad kredit, atau hidup dengan tekanan. Semuanya kerana nak kelihatan ‘hebat’ di mata orang lain.
“Ramai yang nampak kaya di luar, tapi sebenarnya miskin di dalam.”
Ayat ini pedih, tapi penuh makna. Ramai berusaha keras untuk kelihatan berjaya bukan menjadi berjaya. Mereka mengukur kejayaan melalui tontonan, bukan ketahanan. Orang berlumba-lumba mencipta content yang menarik, tapi lupa membina asas yang kukuh.
“Apa gunanya nampak hebat di media sosial kalau asas kewangan sendiri masih rapuh?” katanya lagi.

Ini 5 Amalan Dato’ Sri Aliff Syukri Jadi Mahal
1. Empat Perkara Yang Menjadikan Diri ‘Mahal’
Menurut beliau, untuk benar-benar menjadi insan yang bernilai tinggi atau dalam kata lain, ‘mahal’ seseorang perlu melabur dalam empat perkara utama: ilmu, pengalaman, aset, dan reputasi.
i. Ilmu
Ilmu adalah asas kepada segala kekuatan. Ia membuka jalan, memberi arah, dan membentuk kebijaksanaan. Dengan ilmu, seseorang tahu bila untuk melangkah, berhenti, dan membuat keputusan yang tidak memusnahkan masa depan. Ilmu menjadikan seseorang ‘mahal’ kerana ia tidak boleh dirampas atau ditiru.
ii. Pengalaman
Pengalaman pula datang daripada perjalanan daripada jatuh, gagal, bangun, dan mencuba semula. Ia menjadikan seseorang matang dan berpandangan jauh. Tak ada orang berjaya tanpa luka. Tapi setiap luka itulah yang menjadi pelindung dan pelajaran berharga untuk langkah seterusnya.
iii. Aset
Aset adalah bukti usaha yang nyata. Tanah, bangunan, perniagaan kukuh, atau simpanan yang stabil semua itu menunjukkan kekayaan sebenar, bukan sekadar bayangan di media sosial. Orang yang bijak tidak mengejar gaya hidup mahal, tetapi membina nilai yang kekal lama selepas spotlight padam.
iv. Reputasi
Nama baik yang dibina melalui kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab. Reputasi bukan datang dalam sehari, dan ia tidak boleh dipalsukan. Ia terbentuk apabila seseorang hidup dengan nilai yang konsisten sama ada ketika dilihat atau tidak.
“Kalau nak jadi orang mahal, jangan hanya nampak mahal di luar. Mahal itu hadir bila diri kita ada nilai.”
Ungkapan itu menjadi falsafah hidupnya bahawa kekayaan sebenar bukan diukur dengan apa yang orang nampak, tetapi dengan apa yang masih kekal bila perhatian hilang. Mereka yang ‘mahal’ tidak menunjuk. Nilainya sudah cukup menonjol.
2.Ukuran Sebenar Kejayaan
Bagi Dato’ Sri Aliff Syukri, ukuran sebenar kejayaan tidak pernah terletak pada berapa banyak yang ditayang, tetapi sejauh mana seseorang mampu berdiri teguh walaupun dunia berubah.
Beliau melihat kejayaan bukan sebagai perlumbaan untuk menjadi yang paling menonjol, tetapi perjalanan panjang untuk membina sesuatu yang kekal, sesuatu yang terus hidup walaupun pemiliknya sudah tiada.
“Kekayaan bukan tentang angka dalam akaun bank. Ia tentang apa yang dibina harta, bisnes, dan legasi.”
Ramai terlalu fokus kepada simbol kejayaan berupa harta benda. Mereka lupa asas sebenar yang membuatkan semua itu bermakna. Kemewahan boleh hilang. Sorakan boleh reda. Tetapi nilai sebenar seorang usahawan terletak pada apa yang kekal selepas semua perhatian itu pergi.
Jika mahu menilai seseorang, jangan lihat kemewahan yang dipakai. Lihat apa yang dia bina. Adakah dia membina tanah dan bangunan? Adakah perniagaannya stabil? Adakah dia mempunyai pasukan yang kuat dan setia?
Semua itu tanda bahawa usahanya berakar kukuh bukan sekadar tumbuh sementara kerana musim pujian.
“Kejayaan seperti ini mungkin tidak glamor, tapi ia tahan lama.”
Beliau sering mengingatkan bahawa untuk menilai seseorang itu benar-benar berjaya, jangan tanya apa yang dia miliki sekarang, tetapi apa matlamat jangka panjangnya. Orang yang berfikir jauh tidak mudah terpesona dengan kemewahan segera. Mereka tahu ke mana arah hidup mereka, dan setiap langkah hari ini adalah pelaburan untuk masa depan.
“Kejayaan bukan tentang siapa yang paling cepat nampak kaya, tapi siapa yang paling lama mampu bertahan.”
Ungkapan ini menggambarkan sisi matang seorang usahawan yang sudah banyak belajar dari jatuh dan bangun kehidupan. Kejayaan bukan perlumbaan singkat untuk menang perhatian, tetapi maraton panjang yang menuntut kesabaran, strategi, dan kekuatan dalaman.
Dunia tidak akan mengingati siapa yang paling cepat naik tetapi siapa yang tetap berdiri ketika orang lain sudah berhenti.
3. Nilai mahal bermula dari rumah
Menariknya, falsafah ‘memahalkan diri’ ini bukan hanya diterapkan dalam dunia bisnes, tetapi juga dalam keluarganya. Beliau percaya, nilai ini mesti ditanam sejak kecil bermula di rumah, bukan di luar.
Anak-anak perlu memahami bahawa dunia nyata tidak ditentukan oleh kemewahan, tetapi oleh etika, disiplin, dan harga diri.
Setiap tindakan ada sebab dan akibatnya. Setiap kesilapan membawa pengajaran. Beliau mendidik anak-anak untuk menghargai usaha, bukan hanya hasil. Untuk menghormati orang lain tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Dan yang paling penting untuk menjaga nama dan maruah keluarga.
Menjadi ‘mahal’ bukan bermaksud menunjuk-nunjuk kekayaan. Ia tentang menjaga penampilan, tutur kata, dan adab. Orang yang mahal tidak perlu meninggikan suara untuk didengar, dan tidak perlu membuktikan dirinya untuk dihormati.
Mereka membawa diri dengan tenang, berfikir sebelum bertindak, dan tahu bila perlu bersuara atau berdiam.
“Orang mahal itu seperti berlian, tak mudah didapati, dan bukan semua orang layak memilikinya.”
Prinsip ini menjadikan beliau tegas dalam mendidik keluarganya. Hidup mereka penuh tertib dan protokol bukan untuk bermegah, tetapi supaya setiap ahli keluarga tahu menjaga imej, berdisiplin, dan membawa nama dengan penuh integriti.

4. Mahal itu tentang jati diri
Nilai diri yang tinggi akan melindungi seseorang bila dunia berubah. Bila seseorang tahu nilai dirinya, dia tidak mudah dipengaruhi, tidak tergoda dengan jalan pintas, dan tidak tunduk kepada tekanan semata-mata untuk kelihatan berjaya di mata orang lain. Orang seperti ini tidak hidup untuk membandingkan, tetapi untuk berkembang.
Orang ‘mahal’ akan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Mereka menambah ilmu, menjaga tutur kata, menghormati masa, dan menunaikan tanggungjawab dengan disiplin. Dari situ, maruah terbina, keyakinan meningkat, dan kejayaan datang dengan sendirinya.
“Kalau nak jadi orang hebat, jangan tunggu dunia hargai kita dulu. Kita yang kena mula hargai diri sendiri.”
Seseorang hanya akan tenang bila dia sudah kenal nilai dirinya sendiri dan tidak ada seorang pun yang berkuasa menentukan nilainya.
5. Mahal bukan untuk menunjuk tetapi untuk memberi nilai
Setiap kisah dan pengalaman hidup beliau mengajar satu perkara penting. Kejayaan bukan tentang siapa yang paling lantang menayang hasil, tetapi siapa yang paling tenang membina nilai.
Dunia boleh berubah. Bisnes boleh naik dan turun. Perhatian boleh datang dan pergi. Tetapi nilai diri jika dijaga dengan betul akan kekal selama-lamanya.
Menjadi ‘mahal’ bukan tentang sombong. Ia tentang standard diri agar dunia tidak dapat menentukan harga kita. Bila seseorang tahu nilainya, dia tidak mudah goyah dengan pandangan orang, tidak terpengaruh dengan trend sementara, dan tidak hilang arah bila diuji.
“Jadilah versi terbaik diri sendiri, sampai satu tahap dunia tak lagi menilai harga kamu kerana kamu sendiri sudah tahu betapa berharganya diri kamu.”
Itulah falsafah hidup yang dibawa oleh Dato’ Sri Aliff Syukri dan mungkin juga pelajaran paling penting buat setiap usahawan. Kejayaan sebenar bermula bukan bila dunia memuji, tetapi bila kita mula menghargai diri sendiri. Hargai diri sendiri dulu. Dunia akan turut menghormati dan hargai kita.
Kalau nak dengar banyak lagi perkongsian, rahsia, dan tips bisnes Dato’ Sri Aliff Syukri boleh tonton di YouTube BuatSaja Podcast. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda yang membaca.
Kalau anda berminat atau nak calonkan Founder / Influencer yang anda suka boleh isi form nak jadi guest podcast untuk lebih memudahkan pencalonan.
