Setiap kali Ramadan menjelang, timeline kita akan dipenuhi dengan gambar-gambar yang indah. Gambar berbuka puasa di restoran mewah. Caption penuh ayat-ayat agama. Story terawih berjemaah. Post sedekah makanan kepada orang susah. Hashtag kebaikan bertimbun.
Dan setiap kali ini terjadi, persoalan yang sama akan muncul di minda PU Riz. Adakah ini tulus, atau sekadar persembahan content?
PU Riz menyentuh perkara ini dalam perkongsian beliau di Buat Saja Podcast, dan jawapan beliau seperti biasa bukan hitam putih. Ia lebih kompleks, lebih jujur, dan lebih menusuk daripada yang kita jangkakan.
Ramai yang pernah mendengar hujah ini dalam perdebatan tentang social media.
‘Al-Quran pun kata boleh tunjuk kebaikan.‘
Dan itu benar. Allah SWT berfirman bahawa menampakkan sedekah itu diharuskan. PU Riz tak menafikan ini. Tetapi beliau menambah satu lapisan lagi yang sering kita potong dan buang dalam perdebatan ini.
“Ya, tapi apa yang Al Quran sebut lepas tu , yang lebih baik adalah yang menutup.“
Beliau menggunakan analogi yang sangat mudah difahami. Kalau seseorang kata kita boleh dapat B dalam peperiksaan, itu bagus. Tapi kalau ada A+, kenapa kita nak berhenti di B? Takkan kita nak angkat tangan dan berkata, ‘Saya nak dapat B ye?’
Boleh itu bukan bermakna terbaik. Diharuskan itu bukan bermakna digalakkan.
Dan inilah yang kita sering kelirukan dalam era social media ini. Kita mencari hujah “boleh” untuk membenarkan apa yang kita dah nak buat, kemudian kita berhenti di situ.
Kita tak teruskan mencari apakah yang lebih baik? Apakah yang lebih mulia? Apakah yang lebih dekat kepada keikhlasan?
Kita puas dengan B, padahal A+ sedang menunggu.
Masalah Sebenar Bukan Pada Yang Tunjuk Tapi Pada Yang Komen
Ini adalah point PU Riz yang paling jarang dibahaskan, dan pada pandangan saya, yang paling penting.
Kita sering menyorot mereka yang post kebaikan di social media “oh, menunjuk lah, riak lah.” Tapi PU Riz mengarahkan pandangan kita kepada satu kelompok lain yang sering lepas tangan iaitu mereka yang komen.
Beliau memberi gambaran yang sangat tepat tentang realiti social media kita. Ada orang yang ikhlas post kebaikan mereka.
Mungkin mereka berniat untuk memberi inspirasi. Mungkin mereka sendiri tak sedar sama ada niat mereka murni atau tak. Hanya Allah yang tahu apa yang ada dalam hati mereka.
Tapi di bawah post itu, ada yang komen “Alah, menunjuk lah.” Ada yang persoalkan “Kenapa tak buat benda ni dulu?” Ada yang scroll sambil berasa lebih baik, lebih suci, lebih soleh daripada orang yang post kebaikan itu.
Dan inilah yang PU Riz sebut sebagai lebih berbahaya.
Orang yang post itu mungkin ikhlas. Mungkin tak. Hanya Allah yang tahu. Tapi orang yang scroll kemudian berasa lebih mulia, lebih bersih, lebih dekat kepada Allah daripada orang yang post itu adalah riak yang lebih halus dan jauh lebih berbahaya.
Kerana riak itu tak kelihatan. Ia bersembunyi dalam hati. Kadang muncul sebagai kritikan yang tampak bijaksana dan kelihatan agama.
Seolah-olah peduli pada kemurnian agama, padahal ia hanyalah kibir yang bersembunyi di balik topeng kesolehan.
Ujian Kamera Belakang
PU Riz menggunakan satu analogi yang sangat berkesan iaitu ujian kamera belakang.
Bayangkan seseorang yang selalu post gambar memeluk pasangannya, memberi makan kepada orang susah, memberi sedekah kepada anak yatim. Setiap kali. Tanpa gagal. Dan setiap kali, ada kamera belakang yang merakam.
Soalannya mudah: kalau tiada kamera, adakah perbuatan itu tetap berlaku?
Ini bukan soalan untuk dihakimi oleh orang lain. Ia juga bukan untuk kita jawab bagi pihak orang lain. Ini soalan peribadi untuk diri sendiri.
Untuk jiwa sendiri. Untuk hati yang hanya Allah yang mampu menimbangnya dengan tepat.
Dan di sinilah PU Riz mengingatkan kita tentang hadis yang sangat serius. Nabi SAW menyamakan orang yang beramal tapi berasa dirinya lebih baik daripada orang lain, atau beramal untuk ditunjukkan kepada orang dengan syirik kecil.
Syirik kecil. Bukan dosa kecil yang boleh dipandang ringan dan dilupakan begitu sahaja. Syirik, walaupun dikategorikan sebagai kecil, adalah sesuatu yang Nabi SAW sendiri peringatkan dengan sangat serius kepada para sahabat.
Bayangkan betapa mulia sahabat-sahabat itu, namun Nabi SAW tetap mengingatkan mereka tentang bahaya ini.
Kerana amal itu dinilai bukan pada apa yang kelihatan tapi pada siapa yang ada dalam hati ketika amal itu dilakukan.
Aurat Lelaki Dan Pelajaran Tentang “Boleh Tapi Bukan Terbaik”
PU Riz membawa satu contoh yang mengejutkan dan ini antara yang paling genius dalam keseluruhan sesi tersebut.
Beliau berbicara tentang konsep “boleh tapi bukan terbaik” dengan menggunakan contoh aurat lelaki. Secara teknikal, aurat lelaki hanyalah dari pusat ke lutut.
Jadi, secara fiqh, seorang lelaki boleh sahaja hadir ke majlis dalam keadaan tak berbaju, selagi kawasan pusat ke lutut tertutup.
Boleh. Secara teknikalnya.
Tapi, kata PU Riz, kalau semua orang hadir ke satu program agama dalam keadaan begitu, adakah itu wajar? Adakah itu mencerminkan akhlak yang baik? Adakah itu mengangkat maruah Islam dan umatnya?
Tak.
Kerana akhlak itu nombor satu. Bukan hanya pematuhan teknikal kepada hukum. Islam bukan agama checkbox. Tandakan yang wajib, tinggalkan yang selebihnya.
Islam adalah agama yang mengajar kita untuk sentiasa mendaki ke tahap yang lebih tinggi, mencari yang lebih baik, menghampiri yang lebih mulia dalam setiap perkara.
Dan inilah yang kita perlu bawa balik kepada persoalan social media kita. Boleh tunjuk kebaikan. Ya.
Tapi adakah itu yang terbaik? Adakah kita sudah bertanya diri sendiri dengan jujur, apakah yang lebih tinggi daripada ini?
Dosa Jariah Yang Ramai Tidak Pernah Fikir
Di penghujung sesi, PU Riz menyebut satu konsep yang saya rasa jarang sekali dibahaskan dalam konteks kehidupan digital kita hari ini. Dosa jariah.
Kita semua tahu tentang amal jariah, pahala yang berterusan walaupun kita sudah tiada. Wakaf, ilmu yang bermanfaat, anak yang soleh yang mendoakan kita.
Tapi PU Riz mengingatkan dosa jariah pun ada.
Apabila seseorang meninggalkan sesuatu yang buruk di dunia ini, kesannya berterusan. Orang yang memperkenalkan budaya atau amalan yang salah kepada masyarakat.
Selagi amalan itu diikuti, selagi konten itu ditonton, selagi pengaruh itu berterusan, dosa itu berterusan juga, walaupun orangnya sudah tiada lagi.
Dan ini membawa satu implikasi yang sangat besar dalam konteks digital kita hari ini.
Setiap content yang kita hasilkan sama ada post, video, story, atau komen, ia tinggal. Ia boleh dikongsi semula, boleh dilihat bertahun-tahun kemudian oleh orang yang kita tak pernah jumpa. Ia boleh memberi kesan kepada generasi yang belum lahir lagi.
Kalau ia membawa keburukan, kalau ia mengajar yang salah, kalau ia merosakkan orang lain walaupun sedikit, dosa itu berterusan juga, tanpa kita sedar.
Sebaliknya, kalau ia membawa kebaikan, kalau ia menginspirasi, kalau ia mengajak kepada Allah, pahalanya juga berterusan. Tanpa kita perlu buat apa-apa lagi.
Ini sepatutnya mengubah cara kita memandang setiap perkataan yang kita taip, setiap content yang kita publish, setiap reaksi yang kita tinggalkan di bawah post orang lain.
Kita bukan sekadar posting. Kita sedang menanam sama ada benih pahala atau benih dosa.
Ramadan Dan Tanggungjawab Yang Lebih Besar
PU Riz juga menyentuh tentang mereka yang Allah berikan pengaruh yang lebih besar dalam masyarakat seperti pemilik syarikat, pemimpin komuniti, mereka yang ada follower yang ramai di social media.
Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab itu berbeza mengikut kapasiti. Orang biasa bertanggungjawab ke atas diri dan keluarganya.
Tapi orang yang ada pengaruh, mereka bertanggungjawab lebih besar. Mereka akan disoal tentang apa yang mereka lakukan dengan pengaruh itu.
Dan bulan Ramadan adalah masa yang paling tepat untuk menggunakan pengaruh itu ke arah dakwah yang bermakna.
Tapi syaitan tahu ini. Jadi syaitan tak menyekat secara langsung. Syaitan hanya mengalihkan. Syaitan kata “Tak payah dakwah, zikir je, Kau siapa nak bagi nasihat agama?, Takut orang kata menunjuk.“
Dan kita pun duduk diam, berzikir dalam kesunyian, sementara peluang dakwah berlalu begitu sahaja.
PU Riz ada satu pesan yang sangat ringkas untuk ini dalam kebaikan, tak ada istilah malu. Kalau ada dorongan dalam hati untuk buat yang baik, itu adalah fitrah.
Itu suara kemanusiaan yang masih bersih. Dengarkan ia. Jangan biarkan syaitan memadamkannya dengan soalan-soalan yang kelihatan berhikmah tetapi sebenarnya adalah perangkap.
Antara Tunjuk Dan Dakwah
Maka di mana garisan antara menunjuk dan berdakwah?
PU Riz tak memberikan formula yang exact. Beliau tahu bahawa manusia terlalu kompleks untuk dimasukkan ke dalam formula yang mudah.
Tapi daripada keseluruhan perkongsian beliau, satu kesimpulan yang jelas terbentuk dalam fikiran saya…
Menunjuk itu apabila amal dilakukan kerana ada orang yang melihat. Kamera yang ada itulah yang menjadi sebab amal itu berlaku.
Dakwah itu apabila amal dilakukan walaupun ada orang yang melihat dan kehadiran penonton itu tak mengubah niat, tak mengubah cara, tak mengubah keikhlasan. Kalau tak ada kamera pun, amal itu tetap berlaku.
Perbezaan itu sangat halus. Ia tak boleh dinilai oleh orang lain. Ia hanya boleh dinilai oleh diri sendiri, dalam keheningan malam, ketika tiada siapa yang melihat kecuali Allah.
Ramadan ini, sebelum kita post sesuatu, sebelum kita share kebaikan kita kepada dunia, tanyakanlah satu soalan mudah kepada diri sendiri…
“Kalau tiada siapa yang tahu, adakah aku tetap akan buat ini?”
Jawapan kepada soalan itulah yang menentukan segalanya. Itulah perbeza antara A+ dan B. Itulah perbezaan antara dakwah yang mengangkat dan tunjuk yang membunuh amal dari dalam.
Semoga Ramadan ini kita semua dapat mencari jawapan yang jujur untuk soalan itu.
Nak tahu rahsia & tips PU Riz? Tonton sekarang di YouTube BuatSaja Podcast!
Kenal founder atau influencer hebat? Calonkan mereka jadi guest podcast dengan mudah melalui form pencalonan kami!
