Kekurangan boleh jadi kekuatan terbesar? Kisah Saiful Nang buktikan kejayaan bukan datang daripada kesempurnaan, tetapi daripada keberanian mengubah kelemahan menjadi keunikan.
Permulaan Yang Tak Dijangka
Saiful Nang lahir dengan disleksia. Umur 12 tahun pun masih terbalik-balik mengeja. Membaca tak lancar. Umur 10 tahun baru mahu belajar ABC.
Dalam dunia akademik yang mengukur kejayaan melalui keputusan peperiksaan, beliau hampir dikategorikan sebagai hopeless.
“Saya dilahirkan dengan disleksia. Saya tak rasa saya bijak macam orang lain. Dalam 15 tahun pertama hidup saya, saya lebih banyak mendengar daripada bercakap.”
Beliau tak pernah tahu beliau ada disleksia pada masa itu. Ingatkan itu normal, cuma malas rupanya sebaliknya…
Mendengar Sebelum Bercerita
Dalam 15 tahun pertama kehidupannya, Saiful Nang lebih banyak mendengar berbanding bercakap. Inilah kekuatan beliau. Mendengar dan memahami cerita.
Beliau teringat arwah moyangnya yang semua cicit takut sebab garang dan cepat naik tangan. Tapi Saiful Nang satu-satunya yang berani mendekati moyangnya.
“Saya duduk dengan dia dan tanya kenapa dia garang sangat. Dia pun mula cerita macam orang tua, dan saya boleh duduk berjam-jam dengar cerita tentang zaman kanak-kanaknya.”
Dari situlah beliau belajar, setiap manusia ada cerita. Setiap cerita ada nilai. Dan cerita itulah yang menjadikan sesuatu menarik, bukan teknikal atau kesempurnaan.
Fotografi Bukan Tentang Kamera
Apabila Saiful Nang mula dalam bidang fotografi, beliau pilih jadi jurugambar perkahwinan, walaupun ramai anggap kerja itu rendah. Tapi beliau ada falsafah lain.
Katanya ramai jurugambar cuma ambil gambar ikut template. Pengantin berdiri dan duduk di pelamin.
Saiful Nang pula nak tangkap cerita sebenar dalam perkahwinan. Momen yang buat pengantin tersenyum bila tengok album nanti.
Bagi beliau, teknik bukan perkara utama. Walaupun gambar sedikit blur, ia tetap cantik kalau ada cerita. Itulah yang membezakan beliau. Bukan kamera mahal, tapi emosi dan momen sebenar.
9 Bulan Ke Istana Brunei
Dengan modal RM90 dalam poket dan kamera pinjam, Saiful Nang memulakan perjalanan fotografinya. Beliau tak bersaing di medan yang sama dengan ribuan jurugambar lain. Beliau cipta pasaran sendiri.
The results? Dalam masa sembilan bulan sahaja, beliau jadi Royal Photographer Sultan Brunei, individu paling kaya di dunia pada masa itu.
“Sultan Brunei boleh pilih siapa-siapa yang terbaik di dunia, tapi baginda pilih saya, maknanya saya yang terbaik di dunia.”
Apa rahasianya? Bukan sebab beliau ada peralatan terbaik. Bukan sebab beliau belajar di universiti terbaik. Tapi sebab beliau memahami sesuatu yang ramai orang lupa.
Fotografi adalah tentang cerita, bukan kamera.

Kreativiti Lahir Dari Keterbatasan
Satu perkara yang sangat menarik dalam pendekatan Saiful Nang ialah cara beliau melihat keterbatasan sebagai ruang untuk kreativiti.
“Creativity tak bermaksud kita tak ada batas. Kalau tak ada batas, itu bukan creativity. Tapi bila kita cuma ada RM90 dalam poket, baru creativity muncul.”
Beliau cerita pengalaman mula Rare TV. Pada 2017, beliau bawa cameraman dan banyak gadget mahal sampai hampir kena excess baggage, tapi episod tu kurang sambutan.
Sebaliknya, episod yang guna handphone sahaja jadi paling popular sebab fokus pada cerita, bukan alat.
Formula Storytelling Yang Menjual
Apabila ditanya tentang storytelling dalam marketing, Saiful Nang kata caranya berbeza.
“Kita jual impian dan inspirasi. Kita tak jual masalah atau ketakutan,” tegas beliau.
Tak takutkan orang. Sebaliknya, bawa masuk ke dalam cerita dan ajak mereka bermimpi bersama.
Contohnya bila marketing pakej percutian Switzerland, beliau gambarkan suasana musim bunga, air terjun, bunga daffodil, dan kopi panas supaya orang rasa macam mereka dah ada di situ.
Ini bukan sekadar promosi. Ini jemputan untuk bermimpi dan merasai pengalaman sebelum ia jadi kenyataan.
Tak Perlu Famous Satu Malaysia
Saiful Nang bagi satu nasihat yang sangat berharga.
“Kita tak perlu famous satu Malaysia untuk jadi berjaya.”
Dalam marketing, beliau kata kita tak perlu jadi macam Khairul Aming yang terkenal seluruh negara.
Cukup jadi terkenal dalam kalangan orang yang betul-betul faham dan terima cerita kita.
Contohnya, jika kita jual kapal selam, kita tak perlu terkenal seluruh Malaysia.
Cukup terkenal di kalangan orang yang memang nak beli kapal selam.
Itulah yang beliau panggil strategi jarum. Bukan tembak merata macam peluru, tapi tancap tepat pada sasaran, sampai ‘gajah’ tumbang.
Negatif Cost Marketing
Evolusi terakhir dalam strategi marketing Saiful Nang adalah ‘negative cost marketing‘ iaitu marketing yang boleh jana duit untuk syarikat.
Macam mana boleh jadi?
- Buat kandungan berkualiti tinggi sampai orang sanggup bayar untuk tengok.
- Sponsor datang sebab kandungan memang bernilai.
- Adsense dapat dari tontonan.
- Syarikat boleh endorse produk sendiri dalam kandungan yang dah untung.
Ini bukan lagi content marketing biasa, ini kandungan yang jadi produk itu sendiri.
Pelajaran untuk Usahawan
Kisah Saiful Nang mengajar kita beberapa perkara penting.
1. Kelemahan boleh menjadi kekuatan – Disleksia yang membuatnya lebih banyak mendengar menjadi asas kepada kepakaran storytelling nya.
2. Cerita lebih penting daripada teknikal – Dalam apa jua bidang, kemampuan bercerita mengalahkan kesempurnaan teknikal.
3. Kreativiti lahir dari keterbatasan – Bukan budget besar yang mencipta kejayaan, tetapi kepintaran menggunakan apa yang ada.
4. Tak perlu terkenal di mana-mana – Cukup jadi yang terbaik dalam niche yang spesifik.
5. Jual mimpi, bukan ketakutan – Marketing yang menginspirasikan lebih berkuasa daripada yang menakut-nakutkan.
Dari seorang kanak-kanak disleksia yang hampir dianggap ‘hopeless’, Saiful Nang berubah jadi Royal Photographer dalam 9 bulan, dan kemudian menjadi pengasas beberapa perniagaan berjaya.
Perjalanannya membuktikan kejayaan bukan bergantung pada permulaan yang sempurna, tetapi keberanian untuk cipta jalan sendiri.
Beliau tak ikut template, tak tiru orang lain. Beliau cipta pasaran sendiri dengan satu kepakaran unik iaitu seni bercerita yang menyentuh hati.
Itulah pengajaran terbesar. Dalam dunia yang penuh template dan tiruan, mereka yang berani jadi berbeza dan autentik akan diingati.
Seperti kata beliau, ‘We not joining the market, we make the market‘.

Nak tahu rahsia & tips Saiful Nang? Tonton sekarang di YouTube BuatSaja Podcast!
Kenal founder atau influencer hebat? Calonkan mereka jadi guest podcast dengan mudah melalui form pencalonan kami!
