31 Ogos 1957 bertempat di Stadium Merdeka bergema laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Menggegarkan seluruh Tanah Melayu.
Tahun demi tahun terus berlalu dan ini adalah tahun ke-66 Malaysia merdeka.
Tapi… Betul ke kita dah merdeka?
Di mana tahap pemikiran kita sekarang?
Atau sebenarnya minda kita masih dijajah dengan penuh rasa ‘takut’ dan layu dengan kemajuan yang semakin pesat dalam negara sendiri.
Merdekakah kewangan kita sekarang?
Merdekakah perniagaan yang kita ada sekarang?
Adakah diri kita benar-benar faham tentang Merdeka dan jelas tentang 1001 peluang yang kita ada untuk bangkit dan berjaya?
Orang bisnes memang berjiwa merdeka. Dah jatuh, dah tergolek, masih nak sambung buat bisnes juga, tak mahu makan gaji. Hidup mati mereka dengan bisnes.
Ada yang kata bisnes ni ibarat baby, bila dah mula mesti kena jaga, mana mungkin orang buang baby macam tu saja kan?
Jadi jika anda rasa penat, burnout, sabarlah sedikit. Allah uji anda pasti ada hikmahnya. Jangan mengalah.
Bila kita merasa benar-benar penat kerana tidak memiliki duit. Yakinlah, semua penghuni kubur hanya memiliki satu keinginan, iaitu kembali ke Dunia untuk beribadah kepada ALLAH.
Buat semua yang ada masalah waktu ni, yang tertekan. Dengar nasihat ni baik-baik.
Seberat apapun beban masalah yang kita hadapi saat ini, percayalah bahawa semua itu tidak pernah melebihi batas kemampuan kita.
Kuatlah… Mungkin Allah sedang rindu saat-saat indah hamba-Nya mengadu. Kuatlah sekali lagi, masalah itu hanya ujian yang mendewasakan kita. Proses itu memang terasa menyakitkan hingga air mata tak mampu di tahan.
Pernah dengar macam mana berlian dihasilkan?
Mengapa berlian?
Berlian merupakan batu yang terhasil akibat tekanan yang tinggi dalam perut bumi sehingga menjadikan ia batu permata yang sangat unggul.
Keunikan dan kecantikannya tidak terungkap dengan kata-kata.
Bolehkah kita sebagai manusia juga begitu? Menjadi seperti berlian?
Jika kita ingin belajar menjadi seperti berlian, kita juga kena tahu apakah ciri-ciri yang ada pada berlian ini?
- Cantik
- Kuat
- Mahal
- Sukar dicari
- Penuh bermakna
Lihatlah ciri-ciri yang ada pada berlian ini. Ia merupakan batu yang sangat kuat dan keras di bumi kerana batu berlian ini mampu menggores apa benda pun walaupun kaca.
Ia juga tersangat cantik kerana memiliki berbagai warna iaitu pink, kuning dan biru. Kecantikannya menjadikan ia batu permata yang sangat mahal dan tinggi harganya.
Selain itu, berlian ini juga sukar dicari kerana ia berada di dalam kawasan perut bumi yang memerlukan penggalian dan perlombongan.
Oleh sebab itu, berlian ini juga selalunya dijadikan sebagai satu simbolik bagi sesuatu peristiwa atau momen yang bermakna bagi seseorang.
Jadi, mengapa saya nak kita belajar dari berlian ni? Lihatlah saja pada ciri-cirinya itu.
Saya nak kaitkan bagaimana kita sebagai manusia juga memerlukan tekanan dalam membentuk diri kita menjadi insan yang lebih berjaya. Sebagaimana berlian terbentuk akibat tekanan yang tinggi hingga menjadi batu permata yang tersangat cantik dan mahal, begitu juga manusia. Kita juga boleh menjadi insan yang bermotivasi dan berkualiti.
Oleh sebab itu, jika kita mempunyai tekanan dalam hidup, jangan pernah menyalahkan takdir. Tetapi, gunakan tekanan tadi untuk berubah menjadi lebih baik.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11).
Tak mengapa, akui saja bahwa kita lemah dan ini adalah tanda kita perlukan Allah. Tanpa Allah siapalah kita. Kuatkan diri sekali lagi. Lakukan semuanya untuk ALLAH. Bukankah tidak ada yang sia-sia di sisi-Nya? Teruslah melangkah meski bertatih. Teruslah membantu mesti tak dihargai.
Payung tidak dapat menghentikan hujan, tetapi dapat membantu kita berdiri ditengah hujan. Begitu pula kepercayaan diri tidak dapat menghentikan masalah yang datang tetapi dapat membuat kita tetap berdiri ditengah banyaknya masalah yang kita hadapi dalam hidup ini.
Bertahanlah, dunia ini hanya sementara. Sampai masa kelak, kita pun akan tinggalkan semuanya. Hidup tanpa ujian bagai jantung tanpa denyutan. Sabar memang tak mudah. Tapi dengan sabar, pada akhirnya semua akan berakhir dengan indah. Insya-Allah…
Berhenti bandingkan hidup kita dengan orang lain. Tiada perbandingan antara bulan dan matahari. Ianya akan bersinar bila tiba masanya. Setuju?
Hidup tidak selalunya indah. Langit tidak selalunya cerah. Mendung tak bererti hujan. Bila keadaan berubah menjadi susah, bermakna kita perlu berubah menjadi lebih kuat, lebih baik.
Bumi mana tak ditimpa hujan? Ada masa renyai, ada masa lebat. Manusia mana yang tak terima ujian, ada masa ringan, ada masa berat. Kuatlah sekali lagi!.