Membina bisnes mungkin boleh dimulakan dengan modal, produk dan keberanian. Namun, cabaran sebenar bermula apabila seseorang usahawan mahu memastikan bisnes tersebut mampu bertahan untuk tempoh yang panjang.
Bisnes yang kukuh bukan sekadar bergantung kepada jumlah jualan. Ia memerlukan pasukan yang betul, sistem pengurusan yang jelas, strategi pasaran yang sentiasa relevan serta kemampuan untuk berkembang apabila keadaan berubah.
Episod ini dibawakan dengan kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha membawa lebih banyak perkongsian ilmu, pengalaman industri dan inspirasi kepada masyarakat.
Dalam perkongsian Dato’ Azie dalam BuatSaja Podcast, beliau menekankan bahawa untuk membina syarikat yang mampu bertahan lama, seseorang founder tidak boleh melihat bisnes hanya daripada sudut produk dan jualan.
Bisnes perlu dibina sebagai sebuah organisasi yang mempunyai manusia, sistem, strategi dan ruang untuk berkembang.
1. Ambil Orang Yang Betul Untuk Jawatan Yang Betul
Apabila bisnes masih kecil, founder mungkin mampu mengurus hampir semua perkara sendiri.
Namun, keadaan ini tidak boleh berterusan apabila syarikat semakin berkembang.
Setiap bahagian dalam organisasi memerlukan individu yang mempunyai kemahiran dan karakter yang sesuai dengan tanggungjawab mereka.
Dat0′ Azie menekankan kepentingan mempunyai sumber manusia yang kuat kerana orang yang salah dalam sesuatu jawatan akhirnya boleh menjadi masalah kepada keseluruhan organisasi.
Mengambil pekerja bukan sekadar mencari seseorang untuk memenuhi kekosongan jawatan. Syarikat perlu melihat sama ada individu tersebut mampu membuat keputusan, memahami tanggungjawab dan bekerja mengikut sistem yang telah ditetapkan.
Semakin besar organisasi, semakin penting untuk mempunyai barisan management yang boleh dipercayai.
2. Founder Tidak Perlu Membuat Semua Keputusan
Antara kesilapan yang sering berlaku dalam syarikat yang sedang berkembang ialah terlalu banyak keputusan masih perlu melalui founder.
Masalah kecil perlu bertanya kepada founder.
Keputusan operasi perlu menunggu founder.
Perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan oleh pengurus juga masih dibawa kepada founder.
Jika keadaan ini berterusan, pertumbuhan syarikat akan menjadi perlahan.
Dato’ Azie berkongsi bahawa apabila seseorang diambil bekerja untuk memegang jawatan tertentu, individu tersebut perlu diberikan ruang untuk menjalankan tanggungjawabnya.
Seorang pengurus bukan hanya bertugas menyampaikan masalah kepada pemilik syarikat. Mereka perlu mempunyai kemampuan untuk memahami masalah, mencari penyelesaian dan membuat keputusan berdasarkan bidang tanggungjawab masing masing.
Peranan founder pula perlu berkembang daripada melakukan segala perkara kepada membina orang yang mampu menjalankan organisasi.
3. Beri Tanggungjawab Dan Latih Pasukan Membuat Keputusan
Delegasi bukan bermaksud menyerahkan kerja kemudian membiarkan pekerja mencari jalan sendiri.
Delegasi perlu disertai dengan latihan, panduan dan tahap tanggungjawab yang jelas.
Pekerja perlu memahami perkara yang mereka boleh putuskan sendiri dan perkara yang masih memerlukan kelulusan pihak atasan.
Apabila pekerja sentiasa menunggu arahan, organisasi akan menjadi terlalu bergantung kepada beberapa individu sahaja.
Sebaliknya, apabila pekerja dilatih untuk berfikir dan menyelesaikan masalah, organisasi mempunyai lebih ramai individu yang mampu menggerakkan syarikat.
Inilah antara asas penting untuk membina organisasi yang boleh berkembang tanpa memerlukan campur tangan founder dalam setiap urusan harian.
4. Bina SOP Dan Tatakelola Yang Jelas
Bisnes yang mahu bertahan lama memerlukan sistem.
Sistem yang dimaksudkan bukan semata mata penggunaan teknologi atau perisian.
Ia merangkumi SOP, tatakelola, pembahagian tanggungjawab, proses kerja dan standard yang perlu dipatuhi oleh setiap pekerja.
Dato’ Azie menekankan bahawa apabila sistem sudah dibina dengan jelas, pekerja mengetahui apa yang perlu dilakukan tanpa perlu sentiasa menunggu arahan.
Sistem juga membantu syarikat mengekalkan konsistensi.
Apabila pekerja baharu masuk, mereka mempunyai panduan.
Apabila pengurus bertukar, operasi masih boleh diteruskan.
Apabila founder tiada di pejabat, syarikat masih mampu berfungsi.
Bisnes yang mempunyai sistem lebih mudah berkembang kerana cara kerjanya boleh diulang dan dipindahkan kepada lebih ramai individu.
5. Lead By Example Dalam Membentuk Pasukan
Kepimpinan bukan sekadar memberi arahan.
Dato’ Azie turut berkongsi pendekatan lead by example ketika mendidik pekerjanya.
Apabila sesuatu perkara tidak dilakukan dengan betul, seorang pemimpin kadangkala perlu menunjukkan sendiri standard kerja yang diharapkan.
Tujuannya bukan untuk mengambil semula semua tugasan pekerja.
Sebaliknya, tindakan tersebut menunjukkan kepada pasukan bahawa tiada pekerjaan yang terlalu kecil dan setiap standard yang ditetapkan mempunyai sebabnya.
Seorang pemimpin yang hanya memberikan arahan tetapi tidak memahami operasi akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kepercayaan pasukan.
Pemimpin yang memahami kerja pula lebih mudah mendidik, membimbing dan menetapkan standard.
6. Jangan Biarkan Bisnes Terlalu Bergantung Kepada Founder
Salah satu tanda syarikat belum mempunyai sistem yang kukuh ialah apabila hampir semua perkara terhenti apabila founder tiada.
Jika pelanggan perlu mencari founder, pekerja perlu mendapatkan keputusan daripada founder dan masalah operasi hanya boleh diselesaikan oleh founder, sebenarnya syarikat masih terlalu bergantung kepada seorang individu.
Keadaan ini menyukarkan bisnes untuk berkembang.
Matlamat membina sistem dan pasukan ialah supaya organisasi mempunyai keupayaan untuk terus beroperasi walaupun founder tidak terlibat dalam setiap aktiviti harian.
Semakin rendah kebergantungan operasi terhadap seorang individu, semakin kukuh asas organisasi tersebut.
7. Sentiasa Berubah Mengikut Trend Pelanggan
Sistem yang baik sahaja tidak mencukupi jika syarikat gagal memahami perubahan market.
Tingkah laku pelanggan sentiasa berubah.
Cara pelanggan mencari produk berubah.
Tempat pelanggan membeli berubah.
Platform yang digunakan untuk membuat keputusan pembelian juga berubah.
Dato’ Azie memberikan contoh bagaimana saluran jualan yang sebelum ini banyak bergantung kepada kedai fizikal akhirnya berubah apabila lebih ramai pengguna membeli melalui platform dalam talian.
Syarikat yang mahu kekal relevan perlu mempunyai kemampuan untuk membaca perubahan tersebut dan bertindak dengan pantas.
Apa yang berjaya lima tahun lalu belum tentu menghasilkan keputusan yang sama hari ini.
8. Ubah Channel Jualan Apabila Market Berubah
Bisnes tidak boleh terlalu selesa dengan satu cara menjual.
Jika sebelum ini pelanggan membeli melalui kedai fizikal, syarikat mungkin perlu memberi lebih perhatian kepada jualan dalam talian apabila tingkah laku pelanggan berubah.
Jika pelanggan banyak menggunakan media sosial untuk mencari produk, jenama juga perlu hadir di platform tersebut.
Strategi pengedaran perlu bergerak mengikut lokasi pelanggan.
Dalam konteks ini, persoalan yang perlu ditanya bukan lagi sekadar, “Di mana kita mahu menjual?”
Persoalan yang lebih penting ialah, “Di mana pelanggan kita sedang membeli?”
Perubahan kecil dalam customer channel boleh memberi kesan besar kepada pertumbuhan sesuatu jenama.
9. Sentiasa Berikan Sesuatu Yang Baharu Kepada Pelanggan
Pelanggan mudah hilang keterujaan apabila sesebuah jenama terlalu lama menawarkan perkara yang sama.
Sebab itu perniagaan perlu mempunyai strategi untuk memastikan pelanggan kekal excited terhadap perkembangan jenama.
Dalam perkongsian beliau, Dato’ Azie menjelaskan bagaimana pelancaran produk baharu digunakan untuk memastikan pelanggan mempunyai sebab untuk terus mengikuti perkembangan jenama.
Produk baharu juga membuka peluang kepada pelanggan sedia ada untuk melakukan pembelian semula.
Namun, pelancaran tidak sepatutnya dibuat sekadar mahu mempunyai produk baharu.
Setiap produk perlu mempunyai sebab yang jelas untuk berada dalam pasaran dan memenuhi keperluan pelanggan.
10. Jangan Bergantung Kepada Satu Sumber Pendapatan
Bisnes menjadi lebih berisiko apabila sebahagian besar pendapatannya bergantung kepada satu jenis pelanggan, satu platform atau satu industri sahaja.
Jika sumber tersebut mengalami masalah, keseluruhan syarikat boleh terjejas.
Sebab itu strategi diversify penting apabila bisnes semakin matang.
Syarikat boleh melihat peluang untuk menambah kategori pelanggan, membuka saluran jualan baharu atau memasuki segmen pasaran yang masih berkaitan dengan kepakaran sedia ada.
Tujuannya bukan untuk masuk ke semua perkara.
Tujuannya ialah mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu sumber pendapatan sahaja.
11. Masuk Market Baharu Apabila Pasaran Sedia Ada Mula Tepu
Setiap pasaran mempunyai had pertumbuhannya.
Apabila sebuah syarikat sudah mencapai sebahagian besar potensi dalam satu pasaran, pertumbuhan mungkin menjadi semakin perlahan.
Ketika itu, syarikat perlu mula mempertimbangkan peluang expansion.
Dalam perniagaan piping, Datuk Azi berkongsi bagaimana perniagaan tersebut berkembang daripada satu segmen kepada beberapa industri lain seperti minyak dan gas serta sektor marin.
Pasaran juga diperluaskan ke peringkat Asia Tenggara.
Pendekatan seperti ini membantu syarikat mengurangkan kebergantungan kepada satu industri atau satu kawasan.
Apabila satu pasaran mengalami kelembapan, syarikat masih mempunyai peluang daripada pasaran lain.
12. Jaga Positioning Dan Reputasi Brand
Pertumbuhan bukan sekadar menjual sebanyak mungkin.
Jenama juga perlu memahami bagaimana ia mahu dilihat oleh pelanggan.
Positioning menentukan tempat sesuatu jenama dalam fikiran pengguna.
Jika sesebuah produk dibina sebagai produk premium, saluran jualan, harga, komunikasi dan pengalaman pelanggan perlu mencerminkan kedudukan tersebut.
Dato’ Azie turut berkongsi bagaimana mereka menjaga tempat produk dijual bagi memastikan imej jenama tidak terjejas.
Kadangkala peluang untuk mendapatkan jualan tambahan perlu ditolak sekiranya ia boleh memberi kesan negatif kepada reputasi jenama dalam jangka panjang.
Jenama yang kuat dibina melalui konsistensi.
13. Jangan Bergantung Kepada Satu Negara Atau Customer Channel
Bisnes yang mempunyai cita cita untuk berkembang perlu melihat pasaran secara lebih luas.
Jika semua jualan hanya datang daripada satu platform, perubahan algoritma atau polisi platform tersebut boleh memberi kesan besar kepada syarikat.
Jika semua pendapatan datang daripada satu negara, perubahan ekonomi negara tersebut juga boleh memberi kesan kepada jualan.
Sebab itu syarikat yang semakin matang perlu membina beberapa saluran pendapatan.
Ia mungkin datang daripada jualan fizikal, jualan dalam talian, pasaran luar negara, pelanggan korporat atau segmen industri yang berbeza.
Lebih banyak saluran yang kukuh dibina, lebih tinggi kemampuan syarikat menghadapi perubahan pasaran.
Membina bisnes yang boleh bertahan lama memerlukan lebih daripada produk yang bagus dan jualan yang tinggi.
Founder perlu membina pasukan yang mampu berfikir, memberikan tanggungjawab kepada management, mewujudkan SOP yang jelas dan memastikan organisasi tidak terlalu bergantung kepada seorang individu.
Pada masa yang sama, bisnes perlu sentiasa membaca perubahan market.
Saluran jualan mungkin berubah.
Tingkah laku pelanggan mungkin berubah.
Pasaran mungkin menjadi tepu.
Persaingan juga akan terus bertambah.
Syarikat yang mampu bertahan bukan semestinya syarikat yang paling besar pada hari ini. Sebaliknya, ia ialah syarikat yang mempunyai sistem kukuh dan kemampuan untuk terus menyesuaikan diri apabila keadaan berubah.
Kerana akhirnya, bisnes yang benar benar kukuh bukan sekadar boleh berjalan ketika founder berada di dalamnya.
Bisnes yang kukuh ialah bisnes yang mempunyai orang, sistem dan strategi yang membolehkannya terus bergerak dan berkembang untuk jangka masa panjang.
Nak tahu bagaimana pasukan, sistem dan strategi yang betul membantu sesebuah bisnes terus bertahan dan berkembang walaupun pasaran sentiasa berubah?
Tonton episod penuh: Siapa di Sebalik Kejayaan Jenama Simplysiti
Ada founder, CEO atau usahawan yang anda mahu kami jemput ke BuatSaja Podcast? Tinggalkan cadangan anda di ruangan komen atau hantar pencalonan tetamu kepada kami. Mungkin cadangan anda akan menjadi inspirasi untuk episod yang seterusnya.
