Cara Irin Putri Azmi Bangkit Selepas 7 Tahun Muflis

Bangkit selepas muflis bukanlah perjalanan yang mudah, apatah lagi apabila seseorang masih perlu menyara keluarga dan merancang masa depan anak-anak. Namun, kisah Irin Putri Azmi yang dikongsikan menerusi Financial Saja Podcast membuktikan bahawa kejatuhan kewangan bukanlah penamat kepada kehidupan.

Irin pernah melalui fasa paling gelap apabila diisytiharkan muflis selama tujuh tahun. Pada masa yang sama, beliau memikul tanggungjawab sebagai sebahagian daripada sandwich generation dengan menanggung tujuh orang ahli keluarga yang tinggal di bawah satu bumbung.

Beliau juga membesarkan anak sulungnya, Rais, yang kini berusia 17 tahun dan merupakan seorang anak dalam spektrum autisme. Bayangkan, ketika sedang berusaha menyelesaikan masalah kewangan sendiri, Irin masih perlu memikirkan keperluan ibu bapa, pendidikan anak-anak, perbelanjaan rumah dan masa depan anak istimewanya.

Tekanan yang dihadapi pastinya bukan sedikit. Namun, beliau tidak membiarkan status muflis menentukan keseluruhan kehidupannya. Irin memilih untuk menerima apa yang telah berlaku, belajar daripada kesilapan dan menyusun semula kehidupan sedikit demi sedikit.

Bagaimanakah Irin Putri Azmi berjaya membina semula kewangan dan keyakinan dirinya selepas tujuh tahun berada dalam status muflis? Mari kita hayati perjalanan beliau yang penuh dengan pengajaran.

1. Bagaimana Irin Putri Azmi Bangkit Selepas Muflis?

Sebelum diuji dengan kebankrapan, Irin mengakui bahawa beliau tidak mempunyai asas ilmu kewangan yang kukuh. Beliau juga tidak mempunyai tabiat menyimpan wang secara konsisten. Wang yang diterima digunakan untuk memenuhi pelbagai komitmen tanpa perancangan kewangan yang benar-benar tersusun.

Seperti kebanyakan orang, kita mungkin merasakan keadaan kewangan masih baik selagi pendapatan masuk setiap bulan. Namun, pendapatan yang stabil tidak semestinya bermaksud kewangan kita kukuh. Sekiranya kita tidak mempunyai simpanan kecemasan, tidak memahami aliran tunai dan tidak bersedia menghadapi perkara tidak dijangka, satu masalah sahaja boleh memberikan kesan kepada seluruh kehidupan.

Bagi Irin, tempoh tujuh tahun berada di bawah status muflis menjadi satu pengalaman yang sangat mencabar. Namun, beliau memilih untuk melihat tempoh tersebut sebagai sebuah “kelas kewangan” yang paling mahal dan berharga daripada Allah. Sepanjang tempoh itu, beliau belajar mengenali kesilapan sendiri. Beliau mula memahami bahawa wang bukan sekadar untuk dibelanjakan, tetapi perlu diuruskan dengan ilmu, strategi dan disiplin.

Selepas bebas daripada status muflis, perubahan pertama yang dilakukan bukanlah membeli barangan mahal atau mengubah gaya hidup. Sebaliknya, beliau mengubah cara dirinya berfikir tentang wang. Perubahan mindset inilah yang menjadi asas kepada usaha Irin untuk bangkit selepas muflis dan membina semula kehidupan keluarganya.

Mempelbagaikan Simpanan

Irin tidak lagi meletakkan semua wang simpanannya di dalam satu tempat sahaja. Beliau mula mengamalkan prinsip “not putting all eggs in one basket” dengan mengagihkan simpanannya kepada beberapa instrumen yang berbeza. Tujuannya bukan semata-mata untuk mengejar keuntungan tinggi. Beliau mahu mengurangkan risiko sekiranya berlaku sesuatu terhadap salah satu simpanannya. Daripada pengalaman lalu, Irin memahami bahawa seseorang tidak boleh terlalu bergantung kepada satu sumber pendapatan atau satu bentuk simpanan sahaja.

Kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa. Kereta boleh rosak, ahli keluarga boleh jatuh sakit, pendapatan boleh berkurang dan komitmen baharu mungkin muncul secara tiba-tiba. Apabila simpanan dibahagikan mengikut tujuan, kita tidak perlu menggunakan semua wang yang ada setiap kali berlaku kecemasan.

Belajar Tentang Pelepasan Cukai

Selain mempelbagaikan simpanan, Irin turut meluangkan masa untuk memahami sistem percukaian. Bagi ramai orang, urusan cukai mungkin kelihatan rumit. Ada yang hanya memikirkan tentang cukai apabila tiba musim mengemukakan borang cukai. Namun, Irin melihat ilmu percukaian sebagai sebahagian daripada pengurusan kewangan yang penting.

Beliau mempelajari cara memaksimumkan pelepasan cukai yang layak diterima bagi mengurangkan komitmen cukai tahunannya secara sah. Langkah ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan bukan sekadar tentang mencari lebih banyak wang.

Kita juga perlu memahami cara menguruskan komitmen sedia ada dengan lebih cekap. Wang yang berjaya dijimatkan melalui perancangan cukai boleh digunakan untuk simpanan, perlindungan keluarga atau keperluan masa hadapan.

Merancang Pelaburan untuk Hari Tua

Selepas mempunyai asas simpanan yang lebih tersusun, Irin mula memikirkan tentang pelaburan untuk masa hadapan. Namun, beliau tidak terus meletakkan wang ke dalam sesuatu pelaburan hanya kerana melihat orang lain memperoleh keuntungan. Beliau mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.

Sebelum membuat keputusan, Irin memilih untuk membaca, memahami risiko dan menilai sama ada sesuatu instrumen itu sesuai dengan keadaan kewangannya. Pelaburan bukanlah jalan pintas untuk menjadi kaya. Setiap instrumen mempunyai risiko yang berbeza. Pelaburan yang sesuai untuk seseorang belum tentu sesuai untuk orang lain.

Bagi Irin, lebih baik bergerak perlahan tetapi memahami apa yang dilakukan, berbanding terburu-buru mengejar pulangan tinggi tanpa mengetahui risiko sebenar. Melalui ilmu dan disiplin yang dibina, beliau berjaya membeli kereta pertamanya melalui pembiayaan Bank Muamalat dalam tempoh satu tahun dua bulan selepas bebas daripada kebankrapan.

Bagi seseorang yang pernah melalui status muflis, kelulusan pembiayaan tersebut membawa makna yang sangat besar. Ia menjadi petanda bahawa Irin sedang membina semula profil kewangan dan kepercayaan institusi kewangan terhadap dirinya.

2. Belajar Berkata “Tidak” Apabila Diminta Meminjamkan Nama

Salah satu pengajaran paling besar daripada pengalaman Irin ialah tentang bahaya meminjamkan nama kepada orang lain. Ramai orang terjerat dengan masalah kewangan bukan kerana berbelanja untuk diri sendiri, tetapi kerana terlalu mudah mempercayai orang terdekat. Ada yang menjadi penjamin kepada pasangan. Ada yang membuat pinjaman untuk membantu adik-beradik.Perubahan inilah yang menjadi asas kepada usaha Irin untuk bangkit selepas muflis dan membina semula kestabilan kewangan keluarganya.

Ada juga yang menyerahkan dokumen dan menandatangani perjanjian kerana kasihan melihat rakan sedang menghadapi kesusahan. Pada awalnya, semua tindakan ini mungkin kelihatan seperti satu bentuk pertolongan. Kita mungkin berfikir bahawa orang tersebut akan membayar komitmen setiap bulan seperti yang dijanjikan. Namun, apabila bayaran mula tertunggak, individu yang meminjamkan nama tetap menjadi pihak yang bertanggungjawab di sisi bank atau institusi kewangan. Hubungan boleh berubah. Janji boleh dilupakan. Orang yang dibantu juga mungkin menghilangkan diri.

Disebabkan tidak mahu dianggap pentingkan diri atau tidak membantu keluarga, kita akhirnya bersetuju walaupun hati sendiri sudah berasa ragu-ragu. Irin menegaskan bahawa dalam hal yang melibatkan duit, hutang dan nama baik, kita perlu menjadi seorang yang banyak berfikir. Dalam perkara lain, terlalu banyak berfikir mungkin dianggap tidak baik. Namun, apabila melibatkan pinjaman dan dokumen kewangan, beliau percaya kita memang perlu “overthinking”.

I think it’s not wrong untuk overthinking when it comes to duit. Duit kita dan nama kita dan masa depan kita. Overthinking in that sense is okay. Bukan kita nak mendoakan benda yang buruk berlaku. Tak. Tapi kita kena bersedialah because it is a possibility.”

Bagi Irin, menolak permintaan untuk meminjamkan nama bukanlah bermaksud kita tidak berhati perut. Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk perlindungan terhadap diri sendiri dan keluarga. Sekiranya kita masih mahu membantu, bantuan tersebut perlulah dilakukan mengikut kemampuan. Kita boleh membantu dengan memberikan pandangan, mencari jalan penyelesaian lain atau terlibat secara langsung dalam usaha yang sedang dilakukan.

Namun, jangan sekadar menyerahkan nama dan menandatangani dokumen tanpa memahami tujuan sebenar pinjaman tersebut. Kadangkala, perkataan “tidak” mungkin mengecewakan seseorang untuk seketika. Tetapi perkataan itu juga boleh menyelamatkan kita daripada masalah yang mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

3. Menggunakan Kad Kredit Sebagai Alat Mengurus Aliran Tunai

Selepas bebas daripada status muflis, Irin berkongsi di media sosial bahawa beliau mempunyai tiga kad kredit daripada Bank Muamalat dan RHB Islamic. Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang mempersoalkan mengapa seseorang yang pernah muflis masih berani menggunakan kad kredit. Ada juga yang menganggap tindakan tersebut sebagai terlalu berisiko. Bagi sesetengah orang, kad kredit sememangnya sinonim dengan hutang.

Namun, Irin melihatnya daripada sudut yang berbeza. Bagi beliau, kad kredit hanyalah sebuah alat kewangan. Sama ada alat tersebut membawa manfaat atau masalah bergantung sepenuhnya kepada cara seseorang menggunakannya. Sekiranya digunakan tanpa kawalan, kad kredit sememangnya boleh menyebabkan seseorang mengumpul hutang dengan cepat. Namun, jika digunakan dengan pengetahuan dan disiplin yang tinggi, ia boleh membantu seseorang mengurus aliran tunai serta membina semula rekod kredit.

Membina Semula Profil Kredit

Bagi Irin, usaha untuk bangkit selepas muflis turut melibatkan proses membina semula rekod kredit secara perlahan-lahan dan penuh disiplin. Beliau menggunakan kad kredit untuk menunjukkan bahawa dirinya kini mampu mengurus komitmen dengan baik dan membuat bayaran mengikut masa yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, perkara paling penting ialah beliau sentiasa memastikan baki penyata bulanan dibayar sepenuhnya. Beliau tidak membiarkan baki tersebut dibawa ke bulan seterusnya sehingga dikenakan caj tambahan.

Dengan cara ini, kad kredit digunakan sebagai alat untuk membina rekod sebagai pembayar yang baik atau good paymaster. Ia bukan digunakan sebagai sumber wang tambahan untuk membeli sesuatu di luar kemampuan. Perbezaan ini sangat penting. Had kredit yang diberikan oleh pihak bank bukan bermaksud kita mempunyai wang sebanyak itu. Ia tetap merupakan wang pinjaman yang perlu dibayar semula. Apabila seseorang menggunakan kad kredit seolah-olah ia pendapatan tambahan, masalah biasanya akan bermula.

Irin juga mengambil masa untuk membaca terma dan syarat bagi setiap kad yang dimilikinya. Beliau mengetahui kad mana yang memberikan pulangan tunai lebih baik untuk perbelanjaan makan dan kad mana yang lebih sesuai digunakan untuk barangan dapur. Dengan menyusun penggunaan kad mengikut kategori perbelanjaan, beliau mampu memperoleh sekitar RM40 hingga RM50 sebulan melalui fungsi cashback. Jumlah tersebut mungkin kelihatan kecil. Namun, bagi Irin, setiap ringgit yang berjaya dijimatkan tetap mempunyai nilai.

Apa yang penting, beliau tidak berbelanja lebih banyak semata-mata untuk mendapatkan cashback. Beliau hanya menggunakan kad tersebut bagi membayar komitmen yang memang perlu dibayar setiap bulan. Perbelanjaannya tidak bertambah. Hanya kaedah pembayaran yang diatur dengan lebih strategik. Inilah perbezaan antara menggunakan kad kredit dengan bijak dan berbelanja hanya kerana mengejar ganjaran.

Memanfaatkan Pelan Ansuran 0%

Bagi pembelian berskala besar seperti perabot atau sofa rumah, Irin memilih untuk menggunakan pelan ansuran 0% bagi tempoh tertentu, contohnya selama 12 bulan. Berbanding mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang besar sekaligus, beliau membahagikan pembayaran kepada ansuran bulanan yang lebih kecil. Tujuannya adalah untuk memastikan wang tunai sedia ada tidak terjejas dan masih boleh digunakan untuk keperluan lain. Pendekatan ini membantu beliau mengurus aliran tunai dengan lebih fleksibel.

Namun, pelan ansuran 0% hanya bermanfaat sekiranya seseorang mempunyai disiplin untuk membuat bayaran setiap bulan. Ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membeli terlalu banyak barangan dalam satu masa. Jika terlalu banyak komitmen ansuran dikumpulkan, jumlah bayaran bulanan tetap boleh menjadi beban. Pengalaman Irin menunjukkan bahawa kad kredit bukanlah musuh. Namun, ia juga bukan alat yang boleh digunakan sesuka hati. Ia memerlukan ilmu, kawalan diri dan disiplin yang konsisten.

Kisah kebangkitan Irin Putri Azmi membuktikan bahawa seseorang masih boleh bangkit selepas muflis sekiranya berani mengakui kesilapan, mencari ilmu dan mengubah cara menguruskan wang. Kunci utama untuk keluar daripada sebarang kemelut adalah dengan memaafkan diri sendiri atas kesilapan lalu, tidak berada dalam fasa penafian (denial), serta berani melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang betul.

Ingin mendalami lebih lagi tentang Irin Putri Azmi?

Tonton episod penuh:  EP18: Dah Jatuh Muflis, Tapi Hidup 7 Orang Masih Di Bahunya | Irin Putri Azmi

Ada founder, CEO atau usahawan yang anda mahu kami jemput ke BuatSaja Podcast? Tinggalkan cadangan anda di ruangan komen atau hantar pencalonan tetamu kepada kami. Mungkin cadangan anda akan menjadi inspirasi untuk episod yang seterusnya.

Jangan lupa share artikel ini

Dapatkan EBook Percuma Sekarang !

Tawaran Terhad untuk 500 Usahawan sahaja.

Semoga blog ini memberi manfaat untuk anda.

Nakkan Konsultasi Bisnes PERCUMA? Klik Di Bawah Sekarang!