Okay, jujur kalau ada orang tanya kita pasal Durioo, mesti jawapan kita lebih kurang “Ha, tu platform tengok kartun anak-anak. Omar & Hana kan?”
Betul. Tapi itu hanya lapisan luarnya sahaja.
Sebab kalau kita tengok lebih dalam, Durioo sebenarnya adalah sebuah tech startup dengan potensi nilai berbilion dolar, yang telah berjaya melepasi proses pemilihan yang lebih susah dari masuk universiti terbaik dunia, dan yang sedang berjuang dalam sebuah peperangan yang kita semua perlu ambil tahu.
Y Combinator Ini Apa?
Kalau kita tak biasa dengan dunia startup, nama Y Combinator (YC) mungkin asing sikit. Tapi dalam kalangan usahawan tech global, nama itu berat sangat.
Senang cerita kalau Harvard tu universiti paling prestij dunia untuk ambil MBA, maka Y Combinator tu setaraf dengan Harvard untuk dunia startup. Dapat masuk YC, maknanya syarikat kita dah “cop” sebagai antara yang terbaik dan paling berpotensi di dunia.
Dalam satu kitaran, lebih 17,000 syarikat memohon. Yang berjaya dipilih? 400 sahaja. Dan Durioo termasuk dalam 400 tu.
Yang paling best dalam cerita ini Sinan Ismail baru tahu pasal YC seminggu sebelum tarikh tutup permohonan. Seorang rakan dalam kumpulan usahawan berkongsi info tu. Beliau terus apply dan masuk.
Partner YC yang menguruskan fail Durioo ialah Jared Friedman, bekas CTO Scribd sebuah platform yang selalu disebut sebagai “Netflix untuk buku”. Bila Sinan Ismail tanya kenapa Durioo dipilih, jawapan Jared buat beliau terkedu…
“Permohonan kamu antara yang paling luar biasa dan menarik yang pernah saya baca dalam lebih 10,000 permohonan. Ada lebih satu bilion Muslim di dunia tapi sampai sekarang, takde satu pun produk utama yang benar-benar menarik dan mendominasi pasaran itu. Itu peluang besar yang belum ada orang rebut lagi.”
Selepas dapat cop YC tu, pelabur datang sendiri. Bukan Sinan Ismail yang pergi cari mereka. Durioo dah jadi nama yang orang nak kejar.
Matematik Yang Buat Kita Tercengang
Sinan Ismail ada cara yang sangat menarik untuk terangkan kenapa Durioo layak jadi unicorn (syarikat bernilai lebih $1 bilion). Mari kita ikut logik beliau:
- Lebih 1.8 bilion Muslim di seluruh dunia dalam 25% penduduk bumi
- Dalam tu, lebih kurang 400 juta adalah kanak-kanak bawah 12 tahun
- Kalau anggap satu keluarga ada 4 orang anak, itu bermakna 100 juta keluarga berpotensi
- Pada harga $3 sebulan sahaja, jumlah pasaran adalah sebanyak $3.6 bilion setahun
- Untuk jadi unicorn ($1 bilion nilai), Durioo hanya perlukan 3% pasaran bersamaan dengan 3 juta pelanggan
Tiga peratus. Tu je.
Dan Omar & Hana dah ada 17 juta subscriber di YouTube secara PERCUMA. Kalau sebahagian kecil sahaja dari mereka nak bayar $3 sebulan untuk platform yang lebih selamat dan berkualiti, angka unicorn tu boleh capai.
YouTube Kids ‘Selamat’ Ke Tak Sebenarnya?
Ha, ini part yang ramai ibu bapa perlu tahu.
Kebanyakan kita rasa lega bila letak anak tengok YouTube Kids. “Eh, dah filtered kan?” Ya, filtered tapi filtered oleh siapa?
Filtered oleh AI. Dan AI tu ada masalah besar. Tak faham naratif. Ia boleh sekat video yang ada kekerasan atau perkataan kesat. Tapi ia tak boleh detect mesej yang diselitkan secara halus seperti nilai yang perlahan-lahan dibentuk dalam minda kanak-kanak tanpa kita sedar.
Apa yang AI YouTube anggap “selamat” untuk kanak-kanak bukan Muslim, adakah sama dengan apa yang selamat untuk kanak-kanak Muslim? Jawapannya jelas. Tak sama.
Dan yang lebih mengejutkan, SVP Disney pernah berkata secara terbuka bahawa 50% kandungan mereka perlu ada “representasi” termasuk representasi yang jelas bertentangan dengan nilai Islam dan nilai keluarga. Ada video pernyataan rasmi beliau. Bukan fitnah.
Di Durioo, caranya berbeza terus. Setiap satu daripada lebih 30,000 video dalam platform tu ditonton satu persatu oleh manusia bukan bot, bukan AI. Ada yang tak lepas tapis, ada yang kena potong bahagian tertentu. Proses ni penat, tapi itulah komitmen mereka.
“Tawaran Berbilion Dolar? Kita Tolak.”
Ada soalan yang selalu orang tanya Sinan Ismail bila pelabur bukan Muslim masuk, adakah mereka akan ubah hala tuju Durioo? Adakah misi Islamik tu akan diketepikan?
Jawapan beliau ringkas. Tak mungkin berlaku.
Melalui dokumen SAFE standard Y Combinator, pelabur pada peringkat seed langsung tak ada kuasa ke atas keputusan syarikat. Mereka beli ekuiti, tapi tak boleh masuk campur pengurusan.
Dan kalau ada syarikat besar, katakanlah platform streaming gergasi atau syarikat hiburan antarabangsa datang tawarkan berbilion dolar untuk beli Durioo?
“Kita akan kata tak. Tak kisah mereka letak 2 bilion atau 3 bilion ringgit. Misi kita kena kekal utuh. Sebab itulah kita buat benda ni dari awal.”
Menariknya, pelabur bukan Muslim pun boleh terima pendirian ni. Sebab mereka sendiri, sebagai ibu bapa, tak selesa dengan apa yang berlaku kat platform arus perdana. Isu nilai bukan isu Islam semata-mata. Ia isu universal untuk semua keluarga yang ambil berat pasal masa depan anak-anak mereka.
Soalan Yang Buat Sinan Ismail Tak Boleh Berhenti
Di sebalik semua strategi bisnes, angka pelaburan, dan rancangan IPO, ada satu soalan mudah yang sentiasa bermain dalam fikiran Sinan Ismail dan buat beliau terus bergerak…
“Kalau Allah tanya nanti, Sinan, kenapa kau tak buat Durioo? Kenapa kau berhenti? Aku dah bagi team, dah bagi ilmu, dah bagi platform ni, kenapa kau tak bersungguh-sungguh?”
Soalan itula yang buat beliau tahan masa revenue jatuh 80%. Tahan masa kena berpisah dengan Didi & Friends. Tahan masa kena start balik dari bawah dengan 40 orang pekerja tapi tak ada produk lagi.
Misi Durioo adalah membina Ummah yang beriman, berakhlak, dan berilmu, bukan sekadar ayat cantik kat dinding pejabat.
Kalau kita tanya mana-mana pekerja Durioo, dari intern baru sampai pemimpin kanan, mereka semua boleh sebut misi tu dengan spontan. Sebab tu nilai yang ditanam dalam, bukan sekadar dihafal.
Dan dalam sesi town hall awal 2026, benda pertama yang Sinan Ismail sebut bukan KPI atau sasaran jualan.
“Jom kita renew balik niat kita. Kenapa kita buat benda ni, kenapa kita ada kat sini.”
So, Apa Kita Nak Buat Sekarang?
Kisah Durioo bukan sekadar inspirasi untuk usahawan. Ada dua perkara besar yang kita semua perlu renungkan.
1. Untuk ibu bapa
Jangan serah bulat-bulat kepada platform asing untuk mendidik anak. Algoritma mereka tak kenal nilai kita. Agenda mereka lain dari agenda kita. Kita yang kena ambil peranan aktif dalam memilih apa yang anak-anak tonton.
2. Untuk usahawan Muslim
Sinan Ismail ada satu pemerhatian yang agak pedas tapi betul. Ramai usahawan Melayu ada mentaliti “cukup la tu”. Dah ada rumah, kereta, cukup makan lepas itu berhenti. Tapi sebenarnya, semakin besar kekayaan kita, semakin besar potensi kita untuk memberi kembali kepada komuniti, labur dalam usahawan muda lain, dan bangunkan ekosistem yang lebih kuat bersama-sama.
Durioo dah buktikan bahawa bisnes yang pegang nilai boleh dapat pelaburan global, boleh masuk institusi bertaraf dunia, dan boleh berdiri teguh tanpa perlu gadai prinsip.
Platform kartun kanak-kanak? Ya, antara lain.
Tapi lebih dari itu. Durioo adalah bukti bahawa kalau komuniti Muslim bersatu dengan niat yang betul, kita adalah kuasa yang tak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun di dunia ini.
Nak tahu rahsia & tips Sinan Ismail? Tonton sekarang di YouTube BuatSaja Podcast!
Kenal founder atau influencer hebat? Calonkan mereka jadi guest podcast dengan mudah melalui form pencalonan kami!
