Kalau ada orang cakap kat kita “Hei, pengasas platform streaming Islam terbesar Asia Tenggara tu pernah jual barang hantaran kahwin untuk survive” mesti kita gelak dan kata, “Eh, jangan la tipu.”
Tapi itulah cerita sebenar Sinan Ismail. Pengasas Durioo dan Durioo Plus. Platform yang hari ni ada lebih 17 juta subscriber global, 11 bilion tontonan di YouTube, dan sedang hangat membina ekosistem media Islam untuk seluruh dunia. Jalan beliau sampai ke situ? Berliku, berdarah, tapi penuh pengajaran.
Jom kita cerita dari awal.
Budak Matematik Yang Minat Kartun
Sinan Ismail bukan graduan animasi. Bukan multimedia. Beliau graduan Matematik dari USM. Kursus beliau pun nama dia pelik sikit. Computer Modeling. Masa apply pun beliau ingat kursus komputer biasa, rupanya masuk Fakulti Matematik. Tapi tak apa, sebab kursus tu sebenarnya tentang pengiraan untuk menghasilkan grafik 3D. Matematik untuk buat kartun, lebih kurang.
Tapi minat beliau dalam dunia animasi dah ada lama sebelum itu, sejak beliau tengok Toy Story masa kecil. Filem animasi 3D pertama dalam sejarah. Masa tu beliau rasa, “Best gila kalau boleh buat benda macam ni.”
Masalahnya, zaman itu tak ada YouTube, tak ada kursus online. Nak belajar animasi, kena pergi Kinokuniya, beli buku tutorial 3D yang tebal-tebal, dan ikut langkah demi langkah sendiri. Beliau pun aktif dalam forum Sifu.com, tempat komuniti 3D Malaysia berkumpul sebelum era media sosial. Dari situ la beliau dapat kerja pertama, sebagai 3D Generalist.
Lompat Dua Kaki, Jangan Sebelah
Selepas beberapa tahun kerja di syarikat lain dalam 3D arkitektur, buat buku e-learning, buat iklan (ya, lipas dalam iklan Shieldtox itu salah satu kerja beliau) Sinan Ismail rasa nak cuba sendiri.
Masa itu umur 26 tahun. Belum kahwin. Masih duduk dengan ibu bapa. Simpanan dalam bank? RM8,000. Tak banyak, tapi cukup untuk survive beberapa bulan.
Mentor beliau, Tuan Fai, bagi nasihat yang sampai sekarang beliau pegang.
“Sinan, 5 tahun dari sekarang, tanya diri sendiri masih nak buat benda yang sama tak? Kalau ya, baik buka bisnes sekarang. Biar rasa naik turun bisnes tu awal. Pengalaman itu tak boleh beli dengan duit.”
Sinan Ismail dengar nasihat itu, dan beliau buat keputusan untuk lompat masuk dunia bisnes dengan dua kaki sekali gus.
Beliau selalu pesan benda ni kepada usahawan muda. Jangan lompat sebelah kaki. Ramai yang dah 10 tahun cakap nak buat bisnes, tapi sampai sekarang masih part-time, masih “tengah plan”, masih “nanti la”. Sebab tak ada komitmen penuh, impian itu tak ke mana-mana.
Digital Durian, Bila Nama Buah Jadi Jenama
Syarikat pertama Sinan Ismail bernama Digital Durian. Kenapa durian? Sebab nak nama yang orang tak boleh lupa. Ingat cara Apple guna nama buah epal. Simple, unik, mudah dikenali. Durian pulak adalah King of Fruits. Jadi Digital Durian bermaksud nak jadi King of Digital. Lebih kurang la logiknya.
Dan memang berkesan. Setiap kali jumpa klien baru, soalan pertama selalu. “Kenapa durian?” Itu dah jadi conversation starter yang bagus untuk branding.
Bisnes bermula berdua sahaja. Klien pertama? EON dan MISC. Projek Oil & Gas dengan MISC itu nilai dia dalam RM50,000 hingga RM60,000. Besar gila untuk syarikat dua orang yang baru bermula.
Cara beliau pitch pun lain dari orang lain. Zaman tu projektor pejabat selalu ada masalah. Warna lari, skrin gelap, semua tak best. Jadi Sinan Ismail bawa TV 42 inci sendiri ke setiap sesi pitch. Penat? Ya. Orang pelik? Ya jugak. Tapi kesan dia? Klien terkesan. Mereka nampak betapa serious dan dedicated team tu.
Dari 20 Orang Ke Jual Barang Kahwin
Bisnes mula berkembang. Dari dua orang, Digital Durian membesar sampai 20 orang pekerja. Semua orang semangat, kerja masuk, duit ada.
Lepas tu, 2008 hingga 2009, krisis kewangan global. Klien potong belanjawan. Kerja digital jadi kemewahan yang ramai tak mampu nak bayar. Dalam masa yang singkat, pendapatan jatuh teruk.
Dari 20 orang, terpaksa susut ke 6–7 orang. Dan untuk syarikat terus bernafas, Sinan Ismail buat benda yang memang tak pernah terlintas dalam impian beliau iaitu pivot ke bisnes perkahwinan. Jual barangan hantaran dari Indonesia. Cetak kad kahwin. Edit video majlis perkahwinan.
“Bukan untuk gaji. Untuk survive je,” kata Sinan Ismail, tenang tapi menyimpan seribu cerita.
Tapi di sebalik semua itu, niat asal untuk buat animasi tak pernah mati. Api itu masih ada, cuma sedang menunggu masa yang betul untuk menyala semula.
Tiga Kali Gagal, Satu Malam Menangis
Dalam masa yang sama, Sinan Ismail mula memohon geran IPCC dari MDAC, geran untuk usahawan kreatif bernilai RM50,000.
2009 – Pitching berjaya masuk. Tapi semua benda salah. Video tak nak main, cakap gagap, masa habis sebelum sempat habis. Markah beliau? 0.1 daripada 10. Confirm tak dapat.
2010 – Kali ni lagi teruk. Tak dapat masuk pitching pun.
2011- Merajuk. Berhenti apply.
Tapi 2012, iklan geran tu keluar lagi. Kali ni dengan tema pendidikan. Malam yang sama, Sinan Ismail terlihat satu gambar di Facebook. Gambar orang tengah menggali mencari berlian, dah hampir sampai, tapi dia berhenti dan pergi. Simbolik sangat. Beliau rasa macam Allah sedang cakap sesuatu kepadanya.
Malam tu jugak beliau pergi ke pejabat dan cakap kepada team.
“Ini percubaan terakhir kita. Jom try sekali lagi.”
Kali ni beliau buat persediaan lain dari biasa. Rakam diri masa berlatih, edit rakaman tu, tukar jadi MP3, masukkan fon telinga, dengar berkali-kali sampai setiap ayat terasa sebati. Hasilnya, pitching yang hampir sempurna.
Malam pengumuman pemenang tiba. Nama Digital Durian disebut pertama sekali. Sinan Ismail menangis.
“Bukan sebab penat atau susah. Tapi rasa macam Allah dah bagi petunjuk Didi ni akan ubah hidup saya, dan akan reach ramai kanak-kanak.”
Didi & Friends kemudiannya membesar jadi salah satu IP animasi paling dicintai keluarga Muslim. Buktinya, ia dah capai 8 juta subscriber di Malaysia sahaja.
2020, Tsunami Revenue dan Perpisahan Yang Perit
Tahun 2020 datang dengan dua musibah sekaligus. COVID-19 melanda dunia. Dan YouTube mengumumkan mereka tak akan lagi mengumpul data dari saluran kanak-kanak. Keputusan ini dibuat selepas kena saman oleh kerajaan Amerika Syarikat. Kesannya kepada Sinan Ismail? Revenue YouTube jatuh 80% hampir dalam sekelip mata.
Bayangkan kalau dulu dapat RM100,000 sebulan, tiba-tiba tinggal RM20,000. Dengan 140 orang pekerja. Tiga projek besar sedang berjalan serentak.
Selepas banyak perbincangan, Sinan Ismail dan rakan kongsi lamanya Hairul yang bersama dari hari pertama Digital Durian membuat keputusan untuk berpisah dengan baik. Bahagi dua syarikat, bahagi dua team, bahagi dua hutang. Hairul bawa Didi & Friends. Sinan Ismail bawa Omar & Hana, dan misi baru, Durioo.
Ramai sangka Sinan Ismail kaya sebab “jual” Didi & Friends. Tapi hakikatnya, hutang turut dibahagi dua. Bukan jalan mudah, tapi jalan yang perlu.
Pengajaran Untuk Kita Semua
Apa yang boleh kita belajar dari perjalanan Sinan Ismail?
- Gagal pitch bukan pengakhiran – Beliau gagal dua kali berturut-turut, merajuk setahun, kemudian bangun balik dan menang pada percubaan ketiga.
- Pivot bukan kalah – Beliau jual barangan kahwin untuk survive merupakan keputusan berani, bukan tanda kelemahan.
- Lompat dua kaki – Separuh komitmen hanya menangguh impian 10 tahun lamanya.
- Jaga niat dari awal. Why yang betul buat kita tahan berdiri masa ribut datang.
- Perpisahan kadang-kadang buka pintu yang lebih besar – Kehilangan Didi & Friends buka jalan untuk Durioo lahir.
Kisah Sinan Ismail bukan tentang bakat luar biasa atau nasib yang memihak. Ia tentang seseorang biasa yang jatuh berkali-kali, tapi setiap kali jatuh beliau pastikan bangun dengan niat yang lebih jernih.
Dan mungkin, itulah rahsia sebenar di sebalik semua kejayaan yang berkekalan.
Nak tahu rahsia & tips Sinan Ismail? Tonton sekarang di YouTube BuatSaja Podcast!
Kenal founder atau influencer hebat? Calonkan mereka jadi guest podcast dengan mudah melalui form pencalonan kami!
