Anda ada impian nak buka kedai kopi? Mungkin anda dah tengok latte art orang lain di TikTok, dah beli mesin espresso mahal, dah fikir nama kedai pun, dah scroll hartanah online cari lokasi yang cantik.
Tapi sebelum korang sign sewa kedai tu, ada beberapa benda yang anda wajib faham dan ia datang terus daripada mulut orang yang dah buat semua kesilapan itu, belajar daripadanya, dan kini ada 170 outlet Richiamo Coffee di seluruh Malaysia.
Dato’ Muhammad Zamry Abu Samad, pengasas Richiamo Coffee, berkongsi pelbagai wisdom perniagaan dalam Buat Saja Podcast.
Beliau bukan cakap dari menara gading. Beliau cakap dari pengalaman dari outlet pertama yang ambil 8 bulan nak buka, dari modal yang cukup-cukup, dari kedai yang orang kata ‘gila‘, sampai ke 170 cawangan hari ni.
Kami ekstrak 5 strategi penting untuk anda baca dan hadam baik-baik.
1. Lokasi Bukan Sekadar “Tempat Yang Ramai Orang” Ia Lebih Spesifik Dari Tu
Ramai orang fikir lokasi yang baik ialah mall besar atau jalan yang sibuk. Dato’ Zamry kata tak semestinya. Beliau dah buka di pelbagai jenis lokasi. Universiti, hospital, bangunan kerajaan, parlimen, mall dan pengalaman itulah yang mengajar beliau satu formula yang mudah tapi ramai terlepas pandang.
Lokasi yang paling konsisten menghasilkan pendapatan adalah lokasi di mana orang tak ada pilihan lain seperti hospital, bangunan pejabat, dan universiti. Di kawasan sebegini, orang mesti makan, mesti minum, dan mereka pergi ke mana yang paling mudah.
Trafik dijamin, bukan bergantung pada mood orang nak keluar berjalan atau iklan yang viral semalam.
“Kalau orang dah ada di situ, dia kena makan jugak,” kata beliau.
Sebaliknya, mall besar ada risiko tersendiri. Sewa tinggi, peraturan ketat, dan kontrak panjang. Ramai peniaga tercekik masa COVID sebab dah sign kontrak 3 tahun tapi tak boleh beroperasi langsung.
Lesson yang mahal dan ramai yang tak baca fine print dalam perjanjian sewa tu. Bila dah tersepit dalam kontrak, tiada jalan keluar yang mudah.
Formula ringkas Dato’ Zamry. Kira trafik, tapi kira juga jam operasi. Kawasan pejabat mungkin sepi malam, tapi kalau trafik siang cukup untuk cover overhead dan untung, ia tetap lokasi yang bagus.
Tak semua kedai perlu buka sampai tengah malam. Yang penting, setiap jam operasi kena produktif dan memberi pulangan.
2. Dalam F&B, Yang Paling Untung Bukan Makanan Tapi Minuman
Ini rahsia yang ramai peniaga baru F&B tak sedar, dan bila tahu, ramai yang terkejut. Margin keuntungan minuman (beverage) adalah 60-70%.
Bandingkan dengan makanan yang marginnya jauh lebih kecil kerana kos bahan mentah, tenaga kerja, masa penyediaan, dan risiko pembaziran yang tinggi. Makanan expired, minuman boleh adjust kuantiti ikut permintaan.
“Tengok brand-brand baru yang masuk pasaran sekarang, ramai yang jual air je. Sebab mereka tahu air adalah raja margin,” kata beliau.
Itulah sebab Richiamo bermula sebagai kafe kopi dan pastri. Tapi bila Dato’ Zamry nampak ramai pelanggan pergi makan nasi di kantin sebelah dan meninggalkan kedai beliau separuh kosong, beliau ambil keputusan berani tambah nasi dan daging salai dalam menu.
Ramai rakan usahawan ketawa. Ada yang kata, “Eh, korang bukan kedai kopi ke? Nanti hilang identiti.” Tapi hasilnya? Pelanggan yang datang berlima, kelima-limanya duduk dan order. Bukan tiga pergi makan nasi, dua minum kopi.
Dalam bisnes, imej boleh dikekalkan, tapi revenue kena dijaga dulu. Jangan terlalu rigid dengan konsep asal kalau pasaran kata sesuatu yang lain.
Adapt, bukan abandon. Kekal identiti kopi sebagai teras, tapi jangan biarkan pelanggan pergi sebab menu tak cukup lengkap untuk keperluan mereka.
3. Licensing vs Francais, Jangan Confuse Dua Benda Ni
Kalau korang nak kembangkan perniagaan melalui orang lain, korang kena faham perbezaan antara licensing dan francais, dua benda yang nampak sama di permukaan tapi berbeza dari segi undang-undang, tanggungjawab, dan commitment yang diperlukan.
Richiamo menggunakan model licensing bukan francais. Perbezaan utamanya adalah francais terikat dengan Akta Francais Malaysia, ada keperluan minimum 3 tahun beroperasi, mesti untung secara konsisten, ada SOP yang diiktiraf secara rasmi, dan ada terma-terma khusus seperti perkataan “royalti” yang hanya boleh digunakan oleh francais bertauliah di bawah akta tersebut.
Licensing pula lebih fleksibel sebagai pra-francais. Korang boleh tetapkan syarat tersendiri, tapi tidak terikat sepenuhnya dengan akta. Sesuai untuk brand yang masih berkembang dan ingin kembang dengan lebih cepat tanpa birokrasi yang berat.
Ini membolehkan Richiamo membuka lebih banyak outlet dalam masa yang lebih singkat berbanding kalau mereka melalui proses francais penuh.
Tapi satu syarat yang tak boleh dilunturkan dalam model Richiamo. Operator mesti kendalikan kedai sendiri.
Bukan harap pekerja sahaja, bukan pelabur yang duduk jauh sambil tunggu dividen setiap bulan. Kalau korang nak buka, korang kena ada di sana dan hands-on. Sebab bila toke sendiri yang jaga, hasilnya memang berbeza dari segi kualiti, perkhidmatan, dan semangat kerja staf.
4. Bina Sistem, Bukan Kebergantungan Pada Orang
Menguruskan 170 outlet bukan main-main. Cabaran terbesar dalam F&B bukan modal, bukan lokasi tapi sumber manusia. Staf datang pergi seperti air.
Zaman sekarang, kata Dato’ Zamry, anak muda lebih suka freelance deliver makanan daripada kerja tetap. Mereka kerja bila suka, off bila suka, dan bila dapat tawaran lebih baik, mereka pergi tanpa banyak soal.
Penyelesaian Richiamo? Bina sistem yang tak bergantung pada satu individu. Ini termasuk…
- SOP yang jelas untuk setiap aspek operasi dari cara buat kopi, steam susu, hingga cara layani pelanggan yang buat aduan
- Weekly briefing secara online untuk semua outlet kekal updated tentang promosi, perubahan menu, dan piawaian perkhidmatan
- Central kitchen untuk pastikan kualiti makanan seragam di semua outlet tanpa perlu chef dedikasi di setiap cawangan
- Kilang pengeluaran sendiri untuk produk 3-in-1 dan bahan asas, kurangkan pergantungan kepada pembekal luar dan kawal kualiti dari punca
Dan cara beliau motivasi staf berbeza dari kebanyakan majikan. Beliau tak cakap pasal gaji semata-mata.
“Saya nak korang jadi usahawan. Saya nak suatu hari korang buka kafe sendiri. Satu, dua, sepuluh. Tapi korang kena komited dulu.”
Beliau melabur dalam impian stafnya dan sebagai balasan, staf bekerja bukan sekadar untuk gaji, tapi untuk belajar selok-belok perniagaan dari dalam.
Apabila staf ada matlamat jangka panjang, mereka bekerja dengan lebih bersemangat dan lebih bertanggungjawab. Win-win untuk semua pihak. Staf dapat ilmu, syarikat dapat pekerja yang invested dalam kejayaan perniagaan.
5. Disiplin Kewangan Adalah Nadi Perniagaan
Dato’ Zamry tak teragak-agak bila ditanya tentang pesanan utama kepada usahawan.
“Yang paling penting dalam bisnes adalah disiplin kewangan.”
Ini bermaksud asingkan akaun syarikat dan akaun peribadi.
Ramai usahawan gagal bukan sebab bisnes tak untung, tapi sebab duit bisnes masuk poket peribadi. Bayar kereta, bayar percutian, bayar benda peribadi, kemudian bila bisnes perlukan modal untuk berkembang atau hadapi kecemasan, tak ada apa yang tinggal dalam akaun syarikat.
Ini bukan kisah luar biasa. Hakikatnya, perkara seperti ini berlaku setiap hari kepada usahawan yang baru bermula terutamanya apabila tak ada siapa yang mengajar mereka perkara asas ini.
Ini bukan teori perakaunan yang rumit. Ia semudah buka akaun berasingan hari ini. Bayar diri korang gaji tetap daripada syarikat, bukan ambil sesuka hati.
Apa yang lebih dari keperluan operasi, simpan dalam syarikat untuk berkembang. Disiplin benda mudah ni dulu, baru layak cakap pasal scale up dan expand.
Dan selain disiplin kewangan syarikat, Dato’ Zamry turut berkongsi satu amalan spiritual yang beliau pegang teguh. Tetapkan target infak yang tetap setiap bulan bukannya ikut berapa banyak yang ada.
Komitmen kepada angka itu, senang atau susah. Katanya, ramai orang buat kesilapan dengan infak ikut baki, kalau ada lebih baru bagi lebih. Tapi cara yang betul adalah commit kepada satu angka tetap sejak awal.
Itu, katanya, adalah rahsia rezeki yang beliau pelajari daripada seorang sahabat berjuta-juta dan sesuatu yang beliau sendiri amalkan dalam perjalanan membina Richiamo dari sifar.
Mulakan, Bukan Nantikan
Kalau ada satu takeaway paling besar daripada perkongsian Dato’ Zamry.
Jangan tunggu kondisi sempurna. Richiamo bermula dari modal yang terhad, lokasi yang orang panggil gila, tanpa pengalaman F&B yang formal, dan tanpa sokongan ramai yang percaya. Tapi ia bermula. Dan permulaan itulah yang mengubah segalanya.
Dalam dunia bisnes, “half cook” adalah musuh terbesar korang. Kerja sambil berniaga mungkin terasa selamat dari segi kewangan, tapi ia jarang sekali menghasilkan yang terbaik.
Fokus terbahagi, tenaga terkurang, dan hasilnya pun separuh jalan. Kalau nak buat, buat sungguh-sungguh. Kalau jatuh pun, korang akan tahu korang dah bagi segalanya dan korang boleh bangun balik dengan pengalaman yang jauh lebih kaya dari sebelumnya.
Nak tahu rahsia & tips Dato’ Zamry? Tonton sekarang di YouTube BuatSaja Podcast!
Kenal founder atau influencer hebat? Calonkan mereka jadi guest podcast dengan mudah melalui form pencalonan kami!
