Dalam kesibukan buat persiapan hari raya ni, jangan lupa pula tunaikan Zakat Fitrah. Zaman sekarang mudah, guna online pun boleh bayar Zakat Fitrah.
Di Mana Zakat Fitrah Perlu Dibayar?
Zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya. Walaupun begitu, melihat kepada realiti semasa, adalah lebih baik mengambil pendapat ihtiyat iaitu kita mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.
Justeru jika ketika itu beliau masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dia bayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.
Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.
Menjadi wajib zakat fitrah dengan sebab 3 perkara :
1) Islam
2) Terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadan.
3) Terdapat makanan yang lebih untuk dirinya dan keluarganya pada hari raya itu.
Bagi anak yang lahir setelah terbenam matahari atau akad nikah setelah terbenam matahari (bapa kepada bayi tersebut atau suami kepada isteri tersebut) tidak wajib mengeluarkan zakat ke atas bayi atau isteri tadi.
Orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan tidak wajib baginya mengeluarkan Zakat Fitrah. Begitu jua ke atas yang meninggal pada malam raya dan anak yang lahir pada malam raya.
Sebab-sebab Wajib Menanggung Fitrah ke Atas Orang Lain:
Tuan dan hamba : Wajib Tuan mengeluarkan zakat fitrah untuk hambanya.
Pernikahan : Wajib bagi suami ke atas isterinya.
Kekerabatan : Wajib orang tua mengeluarkan zakat fitrah ke atas anaknya yang kecil atau tidak waras.
Waktu Mengeluarkan Zakat:
Waktu Wajib : Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.
Waktu Afdhal : Sebelum sembahyang Hari Raya
Waktu Sunat : Sepanjang bulan Ramadhan
Waktu Makruh : Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.
Waktu Haram : Selepas terbenam matahari satu Syawal.
Kadar Bayaran Zakat Fitrah :
Kadarnya ialah satu gantang Baghdad iaitu empat kali dua tapak tangan yang sederhana yang penuh dengan beras, bersamaan dengan 3 kati 12 tahil atau 2 7/10kg atau 3 1/2 liter. Zakat dibayar dengan nilai duit untuk menggantikan gandum/beras adalah harus mengikut pendapat Imam al Bulqini.
SUMBER : Lembaga Zakat Selangor