Nak jadi orang hebat bukan sesuatu yang mudah. Setiap kejayaan besar datang bersama harga yang perlu dibayar. Masa, air mata, dan pengorbanan yang jarang dilihat orang.
Seseorang tidak dilahirkan terus menjadi hebat. Orang yang hebat itu dibentuk, bukan muncul begitu sahaja. Mereka dibentuk oleh persekitaran yang mencabar, pengalaman yang mendewasakan, dan didikan yang mengajar makna sabar serta usaha yang konsisten.
Begitu jugalah kisah Dato’ Sri Aliff Syukri. Dahulu, beliau hanyalah seorang anak kepada usahawan kecil. Tidak memiliki harta sendiri, tidak dikenali ramai, dan hidupnya sederhana.
Namun dalam dirinya, ada satu perkara yang besar. IMPIAN. Impian untuk berjaya, untuk ubah nasib keluarga, dan untuk buktikan bahawa tiada yang mustahil bila seseorang betul-betul mahu berusaha.
Hari ini, impian itu bukan lagi sekadar angan. Setiap bisnes yang disentuhnya menjadi, setiap usaha yang dilaburkannya membuahkan hasil. Dari seorang ‘nobody’ beliau kini berdiri sebagai antara usahawan paling berjaya di Malaysia, dengan empayar perniagaan bernilai jutaan ringgit dan kehidupan mewah bersama keluarga tercinta.
Namun, di sebalik segala kemewahan dan kejayaan itu, beliau tidak pernah lupa siapa dirinya dahulu. Dato’ Sri Aliff Syukri masih bekerja keras. Bukan kerana mengejar harta semata, tetapi kerana mahu memberikan kehidupan yang lebih baik buat keluarganya.
Beliau percaya, kesenangan yang ada hari ini bukan alasan untuk berhenti berusaha, tetapi tanda bahawa perjuangan harus diteruskan.
Perjalanan untuk sampai ke tahap ini bukan singkat. Ia mengambil masa bertahun-tahun, penuh dengan pengorbanan dan ujian yang besar.
Ramai hanya nampak sisi luaran sahaja. Kereta mewah, rumah besar, kehidupan serba cukup, tetapi apa yang ramai tidak tahu ialah malam-malam panjang tanpa tidur, tekanan, air mata, dan jatuh bangun beliau bersama isteri yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam setiap langkah perjuangan.
Dato’ Sri Aliff Syukri berulang kali sebut tentang satu perkara. Bagaimana sebenarnya nak jadi orang hebat. Apa yang beliau buat sampai mampu berdiri di tempatnya sekarang? Ramai yang tertanya-tanya, dan dalam episod kali ini, beliau akhirnya berkongsi bukan semua, tapi cukup untuk membuka mata.
Apa yang dikongsikan ini bukan sekadar nasihat biasa. Katanya, itu rahsia beliau, mahal harganya. Nak dapatkan benda ini perlukan beliau untuk keluarkan duit yang banyak, tenaga, masa, dan kadang harga diri beliau.
Jadi, bila beliau sudi membuka sedikit rahsia ini, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Rahsia ini lah yang menjadikan beliau antara figura paling berpengaruh dalam dunia perniagaan dan hiburan tanah air.
Tapi sebelum sampai ke rahsia itu, ada sesuatu yang beliau tekankan. Erti sebenar ‘hebat’ dalam dunia bisnes.

1. Jiwa dan Mentaliti Seorang Pejuang
Dato’ Sri Aliff Syukri kata orang yang hebat mempunyai jiwa dan mentaliti seorang pejuang. Kehebatan seseorang tidak diukur dengan kereta mewah, pakaian berjenama atau gaya hidup yang penuh glamor.
Hebat juga bukan tentang siapa paling lantang bercakap di media sosial, atau siapa paling pandai memberi motivasi. Dalam dunia sebenar, hebat bermula dari jiwa dan mentaliti seorang pejuang.
Ramai orang boleh jadi usahawan, tapi tak semua boleh jadi pejuang. Jiwa pejuang ini, katanya, adalah kekuatan dalaman yang membuat seseorang tak mudah mengalah walau berdepan kegagalan.
Ia tentang keteguhan hati untuk terus mencuba walaupun diri sudah penat, dan keberanian untuk melangkah ke hadapan walaupun rasa takut jauh lebih besar daripada keyakinan.
Beliau percaya, kejayaan yang sejati lahir daripada kesanggupan seseorang menghadapi cabaran dengan sabar dan berani. Dunia bisnes bukan semudah yang dilihat dari luar. Di balik setiap senyuman dan kejayaan, ada tekanan yang berat, kegagalan yang menyakitkan, dan keputusan besar yang perlu dibuat setiap hari.
Seorang pejuang takkan mudah mundur. Bila gagal, dia belajar. Bila jatuh, dia bangun semula. Bila hilang arah, dia cari jalan baru. Itulah mentaliti yang membentuk kehebatan sebenar. Bukan dari nasib, tapi dari keberanian untuk mencipta peluang dalam keadaan yang orang lain anggap mustahil.
Ada yang berjaya dengan cara baik. Berusaha, jujur dan berstrategi. Tapi ada juga yang memilih jalan pintas, sanggup menggadai prinsip demi keuntungan segera. Ini yang membezakan antara ‘orang berjaya’ dan ‘orang hebat.’
Orang berjaya mungkin kaya dan terkenal, tapi orang hebat adalah mereka yang tidak menipu untuk menang, tidak menolak orang lain untuk naik, dan tidak menjual maruah untuk keuntungan. Hebat bukan diukur dengan apa yang dimiliki, tapi dengan cara seseorang meraih apa yang dimiliki.
Makna hebat yang sebenar adalah apabila seseorang mampu bersaing secara sihat, jujur, dan berprinsip. Dunia perniagaan akan sentiasa penuh dengan cabaran dan godaan, tetapi hanya mereka yang berpaksikan nilai dan disiplin akan kekal relevan dan dihormati.
Bila bercakap tentang kejayaan Dato’ Sri Aliff Syukri hari ini termasuklah empayar bisnes, gaya hidup mewah, dan pengaruh besar, itu semua hanyalah hasil akhir daripada perjalanan panjang yang bermula dengan mentaliti seorang pejuang.
Inilah yang lahirnya ‘hebat’ yang sebenar. Bukan pada harta yang dikumpul, tapi pada jiwa yang kuat menempuh badai. Bukan pada pengiktirafan dunia, tapi pada disiplin dan keberanian untuk terus melangkah tanpa tahu apa yang bakal menanti di hadapan.
Setiap pengalaman, setiap luka, setiap kejatuhan, semuanya membentuk seseorang untuk jadi lebih matang, lebih bijak, dan akhirnya, lebih hebat tanpa perlu mendongak langit untuk buktikan apa-apa.
2. Bangkit Selepas Kegagalan
Dunia bisnes ibarat lautan yang sentiasa bergelora. Ada masa ombaknya tenang, ada masa pula datang badai yang menggoncang segalanya. Ada ketika kita berada di puncak kejayaan, disanjung dan dipuji. Tapi ada juga masa kita tersungkur, kehilangan semangat, malah hampir putus asa untuk bangun semula.
Namun, seperti yang dikatakan oleh Dato’ Sri Aliff Syukri, orang yang benar-benar hebat bukanlah mereka yang tidak pernah gagal, tetapi mereka yang mampu bangkit selepas kegagalan.
Setiap kali terjatuh, mereka belajar sesuatu. Setiap kali tersilap, mereka temui jalan baru. Bagi beliau, inilah proses sebenar yang membentuk kehebatan seseorang. Bukan kemenangan yang mudah, tetapi perjalanan jatuh bangun yang melatih hati untuk lebih kuat dan bijak menilai.
Jiwa yang hebat bukanlah jiwa yang kebal, tetapi jiwa yang tidak mudah rapuh walaupun diuji berkali-kali. Mereka tidak gentar dengan kritikan, tidak goyah bila ditekan, dan tidak cepat mengalah walau jalan di depan terasa panjang. Sebaliknya, setiap cabaran diterima sebagai ruang untuk berkembang.
Inilah mentaliti yang membezakan antara mereka yang hanya ingin berjaya, dan mereka yang benar-benar layak digelar hebat.
Dato’ Sri Aliff Syukri percaya bahawa dalam dunia perniagaan, kegagalan adalah guru paling mahal. Ia tidak datang dengan sijil atau gelaran, tetapi membawa pengalaman yang tiada nilainya.
Kegagalan mengajar seseorang erti sabar, melatih disiplin, dan membentuk daya tahan yang tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Sebab itu, setiap kali beliau berdepan kejatuhan, beliau tidak melihatnya sebagai penamat, tetapi sebagai latihan.
Latihan untuk membina semula kekuatan, memperbaiki strategi, dan memahami manusia dengan lebih mendalam.
Kerana di hujung setiap kegagalan, selalu ada satu pelajaran yang menunggu untuk menjadikan seseorang lebih matang, lebih tajam, dan lebih bersedia menghadapi gelombang seterusnya.
3. Tidak Iri Melihat Kejayaan Orang Lain
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam dunia bisnes, pesaing bukanlah musuh yang perlu dijatuhkan, sebaliknya mereka adalah motivasi untuk kita bergerak lebih laju dan berfikir lebih jauh.
Dalam perniagaan, tiada siapa yang boleh berjalan sendirian. Setiap orang memerlukan cabaran untuk berkembang, dan kehadiran pesaing itu sebenarnya adalah ujian. Sama ada kita mampu bertahan, atau sekadar menonton kejayaan orang lain dari jauh.
Pesaing yang wujud di sekeliling kita bukan satu ancaman, tetapi cermin yang menunjukkan di mana tahap kita sekarang. Kadang-kadang, kita tidak sedar kelemahan diri sehingga melihat orang lain melakukan sesuatu dengan lebih baik.
Kadang, kita tidak tahu potensi diri sehingga muncul seseorang yang menolak kita keluar dari zon selesa. Jadi, daripada melihat pesaing sebagai penghalang, lihatlah mereka sebagai pendorong yang jadi kayu ukur untuk kita perbaiki diri dan jadi orang yang lebih baik.
Orang yang benar-benar hebat tidak akan iri hati bila melihat kejayaan orang lain. Sebaliknya, mereka meraikan kejayaan itu dengan hati yang lapang dan menjadikannya sebagai inspirasi untuk memperbaiki diri.
Mereka tahu bahawa setiap orang ada waktunya sendiri. Hari ini mungkin giliran orang lain bersinar, tapi esok mungkin giliran kita pula. Kejayaan bukan perlumbaan untuk cepat sampai, tetapi perjalanan untuk menjadi lebih matang dan lebih bernilai.
Setiap kali melihat orang lain maju, itu bukan tanda kita gagal. Masih banyak ilmu yang perlu kita timba, banyak strategi yang boleh diperhalusi, dan banyak nilai yang boleh kita tambah dalam diri. Orang yang hebat tidak berhenti bila nampak orang lain di depan, mereka berlari lebih pantas dengan cara mereka sendiri.
Itulah sebabnya, orang yang benar-benar hebat akan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kualiti produk, memperkemas strategi pemasaran, dan menambah nilai dalam setiap aspek perniagaan.

Mereka tidak membazir tenaga dengan membenci pesaing atau menjatuhkan orang lain, sebaliknya menggunakan kehadiran pesaing sebagai ukuran untuk menilai kemajuan diri. Bagi mereka, setiap pesaing membawa pengajaran. Sama ada tentang cara berfikir, cara bekerja, atau cara bertahan dalam industri yang penuh tekanan ini.
Kehebatan sejati tidak diukur dengan siapa paling kaya atau paling dikenali. Kehebatan sejati datang daripada keteguhan hati untuk kekal berprinsip walau digoda oleh peluang singkat, daripada keberanian untuk terus belajar walau pernah gagal, dan daripada keikhlasan untuk terus berjuang walaupun persaingan semakin sengit.
Dato’ Sri Aliff Syukri, seorang figura yang luar biasa dan disegani oleh ramai usahawan kecil. Apa yang membuatkan beliau jadi luar biasa bukanlah tipu helah dalam bisnes, tapi kesungguhan beliau nak buktikan kepada orang ramai bahawa beliau pun boleh jadi usahawan yang berjaya.
Beliau berjaya bukan sebab tidak pernah jatuh, tapi beliau tidak pernah berhenti bangkit. Gagal sekali bukan bermaksud gagal selama-lamanya.
Kalau nak tahu banyak lagi rahsia Dato’ Sri Aliff Syukri boleh tonton video penuh beliau di YouTube BuatSaja Podcast.
Tekan link sini BSP EP. 9 | “Orang Kecam Saya Gila Publisiti… Tapi Mereka Tak Nampak Hasil Jualan Saya!”
