“Hebat kuasa Allah…” itulah yang terlintas di hati saya apabila melihat angka notification 10 juta tontonan di saluran YouTube Fahdi Ghazali. Sejujurnya, ini bukan sekadar angka. Ia adalah amanah, satu tanggungjawab besar untuk saya dan FunnelEvo terus memberi manfaat kepada lebih ramai orang.
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”
Dan inilah asas perjuangan saya. Setiap video yang dihasilkan bukan sekadar konten, tetapi satu usaha untuk memberi nilai, memberi inspirasi serta, memberi solusi kepada masalah bisnes, dan menyuntik semangat kepada mereka yang hampir putus asa.
Bagaimana Perjalanan Ini Bermula?
Jika anda tanya saya, “Fahdi, apa rahsia mencapai 10 juta tontonan ini?” Saya akan jawab, tiada jalan rahsia atau jalan pintas, hanya usaha berterusan, doa, dan tawakkal kepada Allah.
Saya mulakan saluran ini dengan niat yang jelas:
Berkongsi ilmu yang telah saya pelajari selama bertahun-tahun.
Memudahkan orang lain memahami strategi bisnes dan pemasaran.
Memberi inspirasi kepada mereka yang rasa terperangkap dalam bisnes.
Awalnya, tontonan hanya puluhan. Saya pernah berfikir, “Adakah ini cukup bagus? Adakah mesej saya sampai?” Tetapi saya tidak berhenti. Saya terus belajar, menambah baik setiap video, dan sentiasa mendengar maklum balas.
Ini 5 Kunci Utama Sehingga Cecah 10 Juta Tontonan
- Jangan banyak fikir, banyak buat!
Setiap konten bermula dengan niat untuk membantu, bukan sekadar untuk “viral”. Bila niat betul, Allah buka jalan. - Konsisten.
Konsistensi adalah rahsia utama. Jujurnya ada hari-hari saya rasa letih, video tetap dihasilkan. Konsistenlah, walaupun kecil usaha kita. Saya nak bila saya tiada nanti, ada sumber pahala berpanjangan. - Fokus Pada Kualiti.
Saya pastikan setiap video ada nilai tersendiri. Adakah ini menjawab soalan orang? Adakah ia boleh memberi solusi? Itulah yang saya tanya setiap kali menghasilkan konten. - Mendengar Komen dan Kritik.
Terima kasih kepada anda semua yang follow, subscribe, komen, dan kritik. Tanpa maklum balas anda, saya tidak tahu apa yang perlu diperbaiki. - Doa & Tawakkal.
Kejayaan ini datang dari Allah SWT. Setiap langkah disandarkan pada doa.
“Man jadda wajada”—Siapa yang bersungguh-sungguh, dia akan berjaya. Tetapi kita mesti ingat, usaha itu hanyalah sebab. Hasilnya tetap milik Allah.
Setiap video, setiap konten yang dihasilkan, saya selalu mulakan dengan niat:
“Ya Allah, jadikan ini manfaat untuk ummah. Permudahkanlah jalan mereka yang memerlukan.”
Dan hari ini, apabila saluran YouTube ini mencapai 10 juta tontonan, saya teringat betapa kuatnya kuasa doa. Setiap doa yang dipanjatkan, setiap usaha yang kita lakukan, bila Allah kehendaki, pasti Dia makbulkan.
Maka, kejayaan ini saya dedikasikan kepada-Nya, dan juga kepada anda semua yang menjadi tulang belakang perjalanan ini. Mari terus berusaha, kerana apa yang lebih indah adalah memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi asbab kebaikan.
Minta doa semua, semoga 2025, channel ini akan dapat lebih 30 juta tontonan. Ameen Ya Rabb!
Anda boleh tonton podcast kami di FunnelEvo Podcast dan Buat Saja Podcast lebih banyak kami akan kongsikan cerita bisnes dan ilmu bermanfaat!
Lawan tetap lawan!